suria

Audit: Ada Premis Kerajaan Di Sarawak Tidak Dapat Bekalan Elektrik

KUALA LUMPUR: Terdapat premis kerajaan seperti klinik kesihatan dan sekolah yang masih tidak mendapat bekalan elektrik 24 jam walaupun projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sarawak telah dilaksanakan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2, contohnya di Long Banga Ulu Baram, Miri projek sistem Mikro Hidro telah siap pada September 2013 namun lawatan Audit pada Disember tahun lepas mendapati premis tersebut masih tidak mendapat bekalan elektrik 24 jam.

"Perkara itu berlaku kerana penyambungan bekalan elektrik daripada projek sistem Mikro Hidro tidak diambil kira dalam skop kerja semasa perancangan projek disediakan memandangkan premis tersebut mendapat bekalan elektrik daripada genset yang dibekalkan oleh jabatan masing-masing yang tidak beroperasi 24 jam," menurut laporan itu.

Premis tersebut telah membuat permohonan penyambungan namun sehingga 23 Mac tahun ini tiada sebarang pembaharuan yang dibuat dan sehubungan itu Audit berpendapat perancangan awal projek perlu mengambil kira keperluan premis agensi kerajaan.

Projek BELB dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik 24 jam ke rumah di kawasan luar bandar negeri Sarawak melalui kaedah sambungan berasaskan talian grid dari Sarawak Energy Berhad (SEB) dan peruntukan dan perbelanjaan projek BELB bagi tahun 2009 hingga 2014 berjumlah RM2.15 bilion.

Projek di kawasan tersebut merupakan satu daripada skop pengauditan yang telah dilakukan terhadap 94 daripada 751 projek fizikal sebagai sampel antaranya di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Miri.

Kelemahan lain yang dilihat ialah pengurusan projek kurang memuaskan, tanaman (pokok sawit) di bawah laluan talian grid kabel elektrik tidak ditebang walaupun masalah izin lalu telah diselesaikan, kualiti kerja yang kurang memuaskan, serta terdapat projek yang dikeluarkan daripada senarai kontrak BLEB.

Sungguhpun begitu, projek tersebut diiktiraf sebagai memuaskan dengan analisis audit mendapati lapan (44.4 peratus) daripada 18 kontrak untuk 751 projek telah berjaya disiapkan dalam tempoh yang diberikan iaitu 12 hingga 24 bulan.

"Semakan audit mendapati sebanyak 41 (43.6 peratus) projek daripada 94 sampel projek yang diaudit berjaya disiapkan dengan perbelanjaan berjumlah RM1.62 bilion, tidak melebihi peruntukan yang diluluskan berjumlah RM1.81 bilion," menurut laporan audit tersebut.

Laporan itu menyebut prestasi projek tersebut juga telah memberi manfaat bekalan elektrik kepada 536,278 (92.8 peratus) pemohon dan sehingga Oktober 2014 sejumlah 41,588 (7.2 peratus) pemohon belum mendapat bekalan tersebut.

Sebagai penyelesaian masalah yang timbul, Laporan Audit mengesyorkan KKLW dan kontraktor harus memastikan projek diselesaikan mengikut tempoh, menyelesaikan masalah izin lalu, memastikan talian grid dibersihkan dari deretan kedai dan pokok sawit serta pemantauan lebih berkesan menggunakan kaedah komputer dan tindakan undang-undang terhadap kontraktor yang lewat menyiapkan projek.-- Bernama

BELB, Sarawak, Long Banga Ulu Baram

Artikel Lain