suria

Mayat Bayi Kepala Hampir Putus, Tiada Tangan Ditemui Di Kawasan Semak

BUTTERWORTH: Mayat bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan dengan kepala hampir terputus ditemui di kawasan semak tepi Sungai Perai berhampiran Kilang Gula Perai, di sini, Sabtu.

Jurucakap polis berkata mayat bayi yang tiada kedua-dua tangan itu dijumpai oleh seorang lelaki yang tinggal tidak jauh dari kawasan penemuan mayat berkenaan kira-kira pukul 1 petang sebelum memaklumkan kepada polis.

"Lelaki berkenaan yang sedang berehat bersama rakannya di pondok tepi rumahnya ternampak seekor anjing sedang memegang sesuatu berhampiran kawasan semak terbabit.

"Dia yang curiga terus menghampiri anjing berkenaan dan mendapati haiwan itu sedang memegang bayi perempuan, lelaki itu kemudian bertindak menghalaunya serta meminta rakannya ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dilahirkan di tempat lain kemudian dibuang di kawasan berkenaan sebelum kedua-dua tangan bayi terbabit dimakan anjing.

Jarak kawasan semak itu dengan rumah penduduk kira-kira 20 meter.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Katanya usaha mengesan ibu bayi malang berkenaan giat dijalankan dan beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
mayat bayi, Rusli Mohd Noor

Artikel Lain