suria

Tawaran MAS: Terima Atau Tolak?

PETALING JAYA: Walaupun wujud ancaman mogok, 14,000 kakitangan yang ditawarkan pekerjaan di syarikat penerbangan baharu perlu menjawab surat tawaran yang dikeluarkan Malaysia Airlines Bhd selewat-lewatnya pukul 5 petang Jumaat.

Menurut sumber, sehingga lewat petang Khamis, lebih daripada 70 peratus atau 9,800 daripada mereka ditawarkan pekerjaan di syarikat baharu menerima tawaran itu.

Hari ini (Jumaat), jumlah itu dijangka melebihi 80 peratus.

Mereka yang menerima tawaran itu akan dibayar bonus yang akan dimasukkan pada akhir September.

Syarikat penerbangan baharu akan mengambil alih syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1 September ini.

Proses transformasi ini adalah sebahagian daripada usaha memulihkan syarikat penerbangan nasional yang mengalami masalah kewangan sejak beberapa tahun lalu.

Transformasi untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan baharu itu menyaksikan semua kakikatangan MAS diberhentikan kerja pada 1 Jun lalu.

Daripada jumlah itu 14,000 daripada 20,000 kakitangan MAS ditawarkan bekerja di syarikat baharu.

Walaupun jumlah akhir hanya akan diketahui awal minggu depan, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller dalam temu bual sebelum ini dengan The Star berkata beliau tidak menjangkakan semua kakitangan akan menerima tawaran itu.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan membuat tawaran pekerjaan bagi pusingan kedua bagi mengisi kekosongan yang ada.

Sementara itu Khamis malam adalah tempoh akhir yang diberikan Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) kepada MAS supaya menarik balik surat penamatan pekerjaan kepada 6,000 kakitangan MAS.

Bagaimanapun sumber daripada Nufam berkata mereka tidak mendapat sebarang jawapan daripada MAS.

MAS, Nufam

Artikel Sebelum

Artikel Lain