suria

Keluarga Mangsa Kebakaran Puji Sikap Pelajar Malaysia Di Rusia

Sebahagian sahabat handai menyampaikan ucapan takziah kepada M.Krishna, 52, dan isteri Kailas Venodrai, 47, atas kematian anaknya Rajesh Kumar yang maut Sabtu lalu di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo ketika ditemui pemberita Bernama di kediamannya Khamis. Rajesh, 25, pelajar perubatan tahun akhir Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Rusia, Moscow meninggal dunia selepas 46 hari bertarung nyawa setelah terlibat dalam kebakaran asrama di Rusia pada 22 April lalu. -fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Keluarga Rajesh Kumar, 25, yang meninggal dunia pada Sabtu lalu selepas cedera dalam kebakaran di sebuah asrama di Rusia pada April lepas, memuji sikap pelajar Malaysia yang berada di negara itu.

Ayahnya Krishna Kumar, 52, berkata ketika berada di Rusia, pelajar Malaysia yang berada di negara berkenaan yang banyak menghulurkan pertolongan serta membantu mendapatkan wang bagi urusan penghantaran pulang jenazah anaknya ke tanah air.

"Pelajar Malaysia di Rusia memang patut dipuji (kerana) tidak kira Melayu, Cina ataupun India, mereka membantu saya...kalau tiada mereka saya tidak tahu mahu buat apa kerana tidak tahu berbahasa Rusia.

"Mereka juga yang telah mendapatkan dana dan memberikan kepada saya untuk saya gunakan bagi urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia, tindakan mereka memang luar biasa dan saya hanya mampu ucapkan terima kasih," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini, Khamis.

Beliau berkata semangat serta sikap pelajar itu menggambarkan sikap 1Malaysia yang dicari-cari selama ini.

"Ada satu ketika saya berada di taman (di Rusia), mereka datang dan beri sokongan moral kepada saya dan isteri (Kailas Venodrai, 47,) mereka juga jaga makan minum kami.

"Pelajar inilah yang setiap hari hantar saya dan isteri ke hospital tempat anak saya dirawat...saya doakan mereka semua berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan akan datang," katanya.

Krishna menyifatkan pemergian anak sulungnya itu merupakan satu kehilangan yang besar memandangkan Rajesh adalah seorang anak yang ceria.

"Dia merupakan anak yang baik dan jika adik-beradik bergaduh, dia yang akan meleraikan pergaduhan dan menceriakan kembali suasana di dalam rumah.

"Dia disenangi oleh semua orang, masa saya lihat dia di hospital ada sekali saya menangis dan dia marahkan saya, dia memang kuat dan tabah," katanya

Krishna berkata meskipun sedih di atas pemergian anaknya itu, beliau bagaimanapun berpuas hati kerana dapat menatap wajah anaknya buat kali terakhir sebelum anaknya itu pergi buat selama-lamanya.

Rajesh menghembuskan nafas terakhir pada 12.10 tengah hari waktu tempatan di Hospital Skifosovsky di Moscow selepas 46 hari dirawat di hospital itu dan jenazahnya dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Beliau mengalami kecederaan dan melecur dalam kebakaran di asrama kampus Russian National Research Medical University pada 23 April.

Jenazahnya dijangka tiba di Kota Baharu pada 7 pagi esok sebelum dibawa ke sebuah kuil di Tumpat untuk upacara pengebumian.

Pada 5 Mei, seorang lagi pelajar Malaysia, Nor Atikah Ali, 25, meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan dan lecur di muka, tangan dan kaki.


Sejumlah 40 orang termasuk 27 rakyat Malaysia cedera dalam kebakaran di asrama 16 tingkat yang berlaku pada 11.30 malam pada 22 April (4.30 pagi 23 April, waktu Malaysia).
kebakaran Rusia, Rajesh Kumar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain