suria

Dua Pelajar IPTS Lemas

KUALA LUMPUR: Dua pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini lemas manakala tiga rakan mereka terselamat dalam kejadian yang berlaku di kawasan perkelahan Sungai Pertak, Kuala Kubu Baharu, Selangor petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai W. Kevin Raj dan L. Viknesh setelah gagal diselamatkan oleh rakan-rakan mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu P. Kiretharan berkata ketika kejadian kelima-lima pelajar terbabit sedang bermandi manda sebelum kesemuanya tenggelam timbul akibat paras air yang dalam.

"Salah seorang darinya yang mahir berenang telah menyelamatkan dua rakannya manakala dua lagi gagal diselamatkan lalu tenggelam pada kedalaman air sehingga tujuh meter," katanya.

Menurutnya, penduduk yang menyedari kejadian itu telah bertindak menghubungi pihak bomba sebelum 14 anggota dari Pasukan Khas dan Operasi bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, mayat mangsa pertama ditemui kira-kira 4.08 petang tadi manakala mangsa kedua dijumpai 13 minit kemudian.

"Mayat kedua-duanya telah diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Menurutnya kelima-limanya berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 25 tahun serta berasal dari Puchong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt. R.Supramaniam berkata, mayat kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat.

IPTS, Sungai Pertak

Artikel Lain