suria

Mangsa Gempa Bumi Tinggalkan 10 Pesanan Kepada Adik Lelakinya

Abu Bakar Naim (kiri), datuk kepada mangsa gempa bumi di Sabah iaitu Muhammad Loqman Abd Karim melihat gambar kenangan mangsa bersama ahli keluarga ketika ditemui di Kampung Chinchin pada Isnin. Turut sama adik lelaki mangsa Muhammad Lufti Hakim (tengah) dan neneknya Fatimah Yusop.

JASIN: "Mungkin abang bukan yang terbaik di dunia..mungkin abang bukan yang terbaik untuk dicontohi..contohi apa yangterbaik dan jangan ikut apa yang buruk," itulah pesan terakhir mangsa gempa bumidi Sabah, Muhammad Loqman Abd Karim kepada adik lelakinya Muhammad Lufti Hakim.

Guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa di Kuala Lumpur yang berusia 22 tahun itu turut meninggalkan 10 pesanan kepada adik lelakinya itu yang sedang menuntut di Kolej Vokasional Jasin di sini melalui Aplikasi WhatsApp pada 25 Mei lepas. 

Menurut Muhammad Lufti, 16, antara 10 pesanan tersebut ialah menjaga solat, pergaulan, berkawan dengan rakan yang baik, jujur, ikhlas dan disiplin.     

"Dia (Muhammad Loqman) seorang yang penyayang, lemah lembut dan selalu bagi nasihat kepada saya terutama masa saya mula masuk asrama pada awal tahun ini.

"Pada awalnya saya meletakkan harapan abang masih hidup tetapi kami kemudian dimaklumkan dia telah tiada oleh ibu saudara yang pergi ke Sabah dengan ibu dan ayah pada Jumaat petang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah datuk mereka, Abu Bakar Amin di Kampung Chinchin di sini, Isnin.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata walaupun mereka jarang berjumpa tetapi abangnya itu sering berhubung dengannya untuk bertanya khabar melalui telefon. 

Sementara itu, Abu Bakar, 76, berkata Muhammad Loqman adalah seorang cucu yang taat dan ambil berat terhadap keluarga dan orang di sekelilingnya. 

Beliau berkata kali terakhir dia bertemu dengan cucunya itu pada 27 Mei lepas ketika mangsa pulang bercuti di Melaka dan menawarkannya untuk membawa datuknya itu ke tempat yang ingin dituju. 

"Arwah bertanya pada saya untuk memberi khidmat kepada sementara dia mempunyai masa terluang dan memintanya membawa saya berjumpa abang saya di Kluang. 

“Dia juga ada memaklumkan pada saya yang dia akan ke Sabah untuk mendaki Gunung Kinabalu untuk melihat kebesaran Allah SWT dan meminta saya mendoakan keselamatannya,” katanya.  

Beliau berkata dia mendapat berita tentang kemalangan yang meragut nyawa cucunya itu sebaik tiba di rumahnya selepas pulang dari Narathiwat, Thailan ddalam program mambantu anak yatim di sana pada Jumaat lepas. 

Abu Bakar berkata Muhammad Loqman sepatutnya bertemu dengan ibu, ayah dan dua adik-beradiknya yang bercuti di Vietnam pada Ahad lepas selepas selesai program di Sabah.
  
Ibu mangsa Izzah Abu Bakar, 48, merupakan Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Durian Daun, sementara bapanya Abdul Karim Mohd Yazam, 52, Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara Jasin. 

Kedua-dua mereka bergegas meninggalkan Vietnam dan terus ke Sabah selepas dimaklumkan kejadian menimpa anak sulung mereka daripada tiga beradik itu.

Mangsa gempa bumi

Artikel Lain