suria

Kewartawanan Serius Perlu Dihargai Dengan Pelbagai Cara -Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Kewartawanan yang serius (serious journalism) dan yang mempunyai kepakaran tertentu perlu dihargai dengan pelbagai cara dan kaedah atas jasa mereka dalam menghasilkan pelbagai berita.  

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penghargaan itu amat diperlukan, apatah lagi dalam keadaan mereka berusaha gigih menghasilkan pelbagai penulisan eksklusif dan laporan penyiasatan, yang memakan masa.

"Mereka perlu dihargai dengan pelbagai cara dan kaedah. Jadi Malam Wartawan Malaysia 2015 yang diadakan hari ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menilai dan menghargai para wartawan," katanya semasa berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2015 dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas2014 di sini, Isnin malam.    

Hadir sama Pengerusi Malam Wartawan Malaysia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya dan lebih 900 pengamal media. 

Shabery berkata banyak cabaran yang dihadapi oleh 'serious journalism' termasuk kos yang tinggi untuk menghasilkan berita berbentuk penyiasatan selain berdepan keadaan di mana hasil tulisan mereka 'dicuri' pihak tertentu untuk disiarkan di media online tanpa sebarang bayaran.

Selain itu Shabery berkata bagi meneruskan kelangsungan 'kewartawanan serius', beliau mencadangkan kewujudan 'national endowment for journalism' iaitu satu dana untuk membantu mereka, seperti yang dilakukan negara-negara lain. 

"Ia satu tabung yang dibantu oleh kerajaan dan Petronas atau mungkin pihak lain di mana dalam kalangan syarikat-syarikat akhbar yang berpindah menggunakan platform online, tetapi mengalakkan sekiranya orang gemar kepada tulisan-tulisan yang dibuat oleh wartawan tetentu. 

"...dan akhirnya melalui 'national endowment for journalism' tadi, diberikan ganjaran tertentu kepada syarikat akhbar dan penulis berkenaan. 

"Ini kerana saya percaya bahawa 'serious journalism' perlu dihargai," kata beliau. 

Pada majlis itu Shabery menyampaikan anugerah kepada para pemenang menerusi 14 kategori yang dipertandingkan antaranya Hadiah Wartawan Muda A.Samad Ismail, Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang, Laporan Berita Cemerlang, Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang, Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang dan Anugerah Kajai. 

Pemenang Anugerah Kajai diraih wartawan New Straits Times iaitu Haris Hussin, Farrah Naz Karim dan Aliza Shah Muhammad Shah yang menerima wang tunai RM30,000.

Sementara itu pemenang kategori lain menerima wang tunai RM15,000 serta sijil penyertaan, manakala Anugerah Esei Foto Cemerlang menerima hadiah RM12,000. 

Sebanyak 46 wartawan berentap di peringkat akhir anugerah itu daripada 413 pengamal media yang mengemukakan penyertaan.

Artikel Lain