suria

Maseu Akan Terus Cari Pekerjaan Alternatif Untuk Bekas Pekerja MAS

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airlines (MASEU) akan terus berusaha mencari pekerjaan alternatif kepada pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang telah ditamatkan perkhidmatan sebagai satu tanggungjawab  menjaga kebajikan anggota kesatuan itu.

Presiden MASEU Alias Aziz berkata pelbagai perancangan sedang dan bakal diatur bagi memastikan semua bekas pekerja MAS dapat meneruskan kesinambungan hidup walau tidak berkhidmat dengan syarikat penerbangan negara itu lagi.

"Kami bukan sahaja mencari pekerjaan alternatif untuk bekas pekerja MAS di sini (ibu negara), malah pekerja MAS yang telah diberhentikan di luar Kuala Lumpur turut tidak diabaikan seperti di Johor Baharu, Selangor, Alor Setar, Langkawi, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu serta Sabah dan Sarawak.

"Dalam masa terdekat, pihak MASEU akan cuba menghubungi menteri besar (dan ketua menteri) di negeri berkenaan dan berbincang dengan mereka apakah bantuan yang boleh diberikan kepada bekas pekerja MAS yang telah berhenti itu," katanya.

MASEU sebelum ini mengumumkan rancangan penubuhan koperasi baharu yang dijangka mula beroperasi Ogos ini bagi memudahkan permohonan mendapatkan peluang pekerjaan baharu serta cadangan penubuhan pusat latihan aeroangkasa untuk menyalurkan kepakaran kakitangan syarikat penerbangan tempatan yang diberhentikan itu.

Selain itu, menurut Alias, Pusat Pembangunan Korporat (CDC) iaitu sebuah badan yang ditubuh Khazanah Nasional Bhd turut serta membantu pekerja MAS yang diberhentikan dengan pencarian kerja baharu.

"Saya dimaklumkan lebih 700 kakitangan MAS yang telah diberhentikan itu, telah ditawarkan pekerjaan lain oleh pihak Malindo Air, Air Asia, serta Etihad," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai perancangan koperasi baharu yang bakal ditubuhkan, Alias memaklumkan selain mendapatkan permit teksi, pihaknya juga akan membida tender perkhidmatan pembersihan kapal terbang dan pejabat.

"Kami berharap, selepas koperasi baharu ini ditubuhkan, pihak MAB (MAB Airlines Bhd) akan dapat memberi keutamaan kepada bekas pekerja MAS untuk mendapat kontrak pembersihan tersebut," katanya.

Alias turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memperuntukkan sejumlah RM20 juta sebagai bantuan pinjaman serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang bersedia menawarkan khidmat nasihat dan kepakaran berhubung bidang perniagaan yang sesuai diceburi koperasi baharu itu bagi menjana pendapatan dan mendapat pekerjaan baharu kepada kakitangan MAS yang terlibat.

Seramai 20,000 kakitangan MAS ditamatkan perkhidmatan bermula 1 Jun lepas disusuli surat tawaran kepada 14,000 kakitangan untuk menyertai entiti baharu MAB sebagai penstrukturan semula syarikat penerbangan negara itu.

MAS, Maseu

Artikel Lain