suria

Anwar Kesal PAS Lulus Usul 'Bercerai' Dengan DAP

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekesalan terhadap perkembangan politik membabitkan kerjasama pakatan pembangkang khususnya antara PAS dengan DAP.

Menerusi kenyataan dari Penjara Sungai Buloh, bekas Ketua Pembangkang itu menggesa usul bagi memutuskan hubungan dengan DAP yang diluluskan Muktamar Tahunan PAS ke-61 Sabtu lalu dikaji semula.

"Saya amat risau dengan perkembangan terkini berkenaan Pakatan Rakyat yang telah diwujudkan sebagai alternatif kepada sistem politik yang gagal dan urus tadbir kerajaan yang lemah di bawah Barisan Nasional (BN).

"Saya kesal dengan usul untuk memutus hubungan dengan DAP yang telah diterima di Muktamar PAS.

"Saya gesa rakan politik kami, PAS untuk mengkaji semula usul tersebut yang telah dilulus tanpa dibahas, dan agar ia tidak dilaksana pada ketika ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu disampaikan melalui peguam, N. Surendran ketika mengadakan pertemuan dengan Anwar di Penjara Sungai Buloh.

Sabtu lalu, PAS meluluskan usul yang dibawa Dewan Ulama PAS Pusat bagi memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP susulan beberapa kenyataan pimpinan parti itu terhadap PAS dan Presidennya, Datuk Seri Andul Hadi Awang.

Bagaimanapun usul berkenaan mahu PAS kekal di dalam Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu menurut Surendran yang juga Ahli Biro Politik PKR berkata, Anwar turut menghantar pesanan khusus kepada Hadi dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berhuhung isu berkenaan.


Anwar Ibrahim, PAS, DAP, PKR

Artikel Lain