suria

1MDB: Dr Mahathir Tidak Percaya Penjelasan Berkaitan Hutang RM42 Bilion

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad meragui penjelasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung penyalahgunaan hutang RM42 bilion syarikat pelaburan  itu kerana mendakwa Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda Kandasamy telah 'berbohong beberapa kali'.

"Arul pernah berbohong sebelum ini. Tidak mustahil Arul mungkin berbohong lagi mengenai hutang RM42 bilion itu. Ke mana hilangnya sebahagian daripada RM42 bilion itu masih menjadi tanda tanya," kata bekas perdana menteri itu menerusi blognya chedet.cc.

Pada Rabu, 1MDB memberikan penjelasan mengenai cara RM42 bilion itu digunakan syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Dr Mahathir turut berkata beliau tidak fikir isu hutang tersebut boleh diselesaikan dengan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Ahad.

Menurut Dr Mahathir, Najib hanya boleh menyelesaikan perkara tersebut sekiranya beliau boleh membuktikan tiada wang yang 'lesap'.

"Niat 1MDB adalah untuk menjana wang untuk kerajaan. Tunjukkan berapa banyak keuntungan yang diperolehi kerajaan sejak 2009. Mengapa anda harus meminjam wang untuk membayar kadar faedah hutang tersebut?

"Mengapa 1MDB hanya membayar RM60-RM90 untuk tanah kerajaan yang kini mahu dijual pada harga RM2,000-RM4,000 kaki persegi? Beliau mendakwa tanah dibeli oleh Tabung Haji dari 1MDB dijual kepada Indonesia dengan harga lebih rendah. Kerugian itu ditanggung oleh Tabung Haji.

"Wang tersebut milik rakyat. Ia adalah tugas polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat aduan dan laporan yang dibuat termasuk oleh Bank Negara. Namun agensi tersebut tidak melakukan siasatan," katanya.

Dr Mahathir, yang hadir pada dialog anjuran badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat berkata Najib terlepas peluang untuk membersihkan namanya dengan gagal menghadirkan diri.

Pada Isnin, 1MDB berkata syarikat tersebut telah menyelesaikan pinjaman AS$975 juta (RM3.6 bilion) kepada sebuah konsortium bank antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, syarikat pelaburan milik kerajaan itu menegaskan bahawa bayaran balik itu membuktikan komitmen untuk mengurangkan liabilitinya.

Tun Mahathir, 1MDB

Artikel Lain