suria

Isu AP: Tiada Lagi Aduan Tangkapan Pekerja Asing – Imigresen

PETALING JAYA: Susulan penyelarasan operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen dengan polis, kini tiada lagi aduan majikan berhubung kes tangkapan pekerja asing yang mempunyai akuan penerimaan (AP) bagi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Perkara itu dijelaskan Jabatan Imigresen susulan gesaan pelbagai pihak mengenai jaminan tahanan tidak berlaku dan meminta supaya pekeliling untuk menguatkuasakan AP diwujudkan apabila dokumen gantian sementara itu sah digunakan semasa proses pengeluaran pelekat baharu PLKS.

Penyelarasan antara kedua-dua agensi penguatkuasaan menerusi sesi ‘engagement’ itu mula dilaksanakan sejak April lalu membabitkan empat zon di Semenanjung iaitu utara, tengah, pantai timur dan selatan. 

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, memandangkan ini adalah urusan operasi jabatan dan polis di mana penyelarasan dibuat melalui sesi ‘engagement’ maka pekeliling adalah tidak perlu.

Malahan katanya, arahan sudah pun dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan AP dan sesi 'engagement' antara kedua-dua agensi penguatkuasaan tersebut sudah dilaksanakan. 

"Sejak sesi 'engagement' bersama PDRM pada April lalu, tiada lagi kes tangkapan yang diadu majikan mengenai pekerja asing yang mempunyai AP.

"Selepas ini, polis tidak perlu lagi membawa pekerja asing ke lokap sekiranya pemeriksaan telah mendapati mereka mempunyai AP. Bagi mereka yang masih dalam tahanan boleh dibebaskan sekiranya semua dokumen termasuk AP dapat dikemukakan," katanya kepada mStar Online.

Persoalan itu dibangkitkan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan beberapa persatuan majikan dan industri lain serta majikan. Ini termasuk pihak polis sendiri yang mengajukan persoalan menerusi sesi ‘engagement’ yang dibuat oleh Jabatan Imigresen bagi operasi penguatkuasaan berkaitan pekerja asing.

Minggu lalu, mStar Online melaporkan seramai majikan membuat aduan kepada pihak imigresen mengenai 376 pekerja asing di Semenanjung ditahan polis sejak Februari lalu ketika mereka masih dalam tempoh menunggu pelekat baharu PLKS yang telah diperbaharui secara dalam talian.

Farah Adura menegaskan jumlah aduan berhubung penahanan pekerja asing itu adalah sebelum pelaksanaan sesi ‘engagement’ antara Jabatan Imigresen dan polis.

Selain pekeliling dan jaminan tiada tangkapan, antara yang dibangkitkan ialah prosedur operasi standard (SOP) bagi proses permohonan antara majikan dan pihak berwajib dan mekanisme polis mengesahkan dokumen berkenaan.

Mengenai SOP, permohonan pembaharuan PLKS di pihak majikan,  Farah Adura menegaskan ia sudah dipaparkan secara lengkap di laman web Jabatan Imigresen, www.imi.gov.my.

"Ia meliputi syarat-syarat permohonan, tempoh masa dan dokumen yang diperlukan untuk berbuat demikian. Jadi tidak timbul isu majikan tiada maklumat mengenai prosedur permohonan," katanya sambil mendakwa terdapat rungutan majikan yang sebenarnya tidak membuat permohonan kerana masalah membabitkan dokumen atau pekerja asing tetapi meletakkan kesalahan itu di bahu Jabatan Imigresen.

Beliau menambah, SOP bagi pengeluaran pelekat PLKS adalah tujuh hari bekerja sekiranya semua dokumen berkaitan lengkap sewaktu permohonan dibuat, tidak termasuk permohonan tidak lengkap, bermasalah atau memerlukan rujukan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Zahari Abdul Aziz pula berkata, pihak polis boleh membuat semakan dokumen dan rujukan lanjut secara dalam talian di https://app7.myeg.com.my/PLKSRenewalDetails/home.do.

Tambahnya, pemeriksaan yang menggunakan nama pengguna dan kata laluan itu boleh dilakukan menerusi kemudahan internet seperti telefon pintar.

“Jabatan Imigresen turut menyediakan bilik gerakan beroperasi 24 jam yang boleh dihubungi di talian 03-88801555 bagi memudahkan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat berkaitan pekerja asing sekiranya diperlukan,” katanya yang merujuk kepada operasi penguatkuasaan terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Artikel Lain