suria

Gempa Sabah: Seluruh Kawasan Kundasang Terputus Bekalan Air

Beberapa orang "Malim Gunung" berehat selepas bertungkus lumus membantu operasi mencari dan menyelamat di Timpohon, Taman-Taman Sabah pada Sabtu. - fotoBERNAMA

RANAU: Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Sabah pada Jumaat telah merosakkan sistem saliran air di daerah Ranau, mengakibatkan beberapa kawasan di daerah itu mengalami tekanan air rendah selain terputus bekalan air.

Perkara itu disahkan Jurutera Air Bahagian Ranau Jabatan Air Negeri Sabah Anthony Jullah, yang menyatakan seluruh kawasan di Kundasang, Ranau kini mengalami masalah terputus bekalan air.

Beliau menganggarkan nilai kerosakan paip saliran bawah tanah dan tangki air mencecah lebih RM500,000.

"Apa yang kami dapati, paip saliran air utama yang terletak di Kundasang telah pecah, beberapa loji juga di kedua-dua daerah mengalami kerosakan dan ada tangki pemendapan yang bocor sikit.

"Dari semalam (Sabtu) lagi, kami sudah mulakan operasi untuk membaiki kerosakan, jadi saya jangkakan mungkin hari ini, kawasan di Kundasang dan Ranau akan pulih kembali," katanya.

Menurut Anthony lagi, ekoran kerosakan yang dialami pada paip saliran air  bawah tanah, lebih 20,000 pengguna terpaksa menghadapi masalah gangguan bekalan air untuk sementara waktu.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu berlaku 16 kilometer di Barat Laut Ranau kira-kira pukul 7.15 pagi Jumaat.

Pada Sabtu, 11 mayat telah dijumpai di kawasan Gunung Kinabalu, menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat bencana itu 13 orang manakala enam pendaki masih hilang.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat dan pengecaman.

bekalan air, terputus, gempa Sabah

Artikel Berikut

Artikel Lain