suria

PM Tiba Di Arab Saudi

PM selamat tiba di Jeddah, Arab Saudi untuk lawatan rasmi tiga hari.

JEDDAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Sabtu untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Najib ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz pada lebih kurang jam 8.30 malam waktu tempatan.

Ketibaan mereka disambut oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad Naif Al-Saud.

Pada Ahad, Najib dijadualkan untuk melawat depoh kereta api metro Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro di Mekah.

Perkhidmatan kereta api metro itu diuruskan oleh Prasarana Malaysia Berhad. Prasarana telah memenangi kontrak tiga tahun untuk mengendalikan perkhidmatan kereta api tersebut bernilai RM768 juta mulai musim haji tahun ini.

Perkhidmatan kereta api itu adalah sejauh 18km bermula dari Arafah menuju ke Mina melibatkan 17 perjalanan dengan setiap perjalanan membawa 12 gerabak.

Najib kemudiannya dijadualkan untuk mengadap Raja Salman yang mana kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan perbincangan dua hala.

Turut bersama-sama Najib ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada sebelah malamnya pula rombongan perdana menteri akan mengerjakan Umrah.

Artikel Lain