suria

"Ada Yang Tak Puas Hati Dengan Saya" - Md Jais

Md Jais Sarday

PETALING JAYA: Exco Kerajaan Negeri Johor, Md Jais Sarday percaya ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap dirinya hingga tergamak melemparkan beg plastik yang dipercayai berisi bangkai haiwan di pekarangan rumahnya, awal pagi Khamis.

Sehubungan itu, tanpa mahu mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Maklumat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menyerah sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat kes berkenaan.

“Saya minta polis siasat sehingga tertangkap individu yang melakukan  perbuatan tersebut. Bagi saya, apa yang berlaku ini mempunyai alasan tersendiri dan saya tidak takut.

“Saya akan menjalankan tugas seperti biasa,” jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Bagaimanapun Md Jais percaya perbuatan itu sengaja dilakukan kerana ada pihak yang tidak berpuas hati dengannya.

“Ia anggapan saya sendiri kerana insiden itu berlaku selepas saya membuat lawatan di Kluang susulan kejadian ribut di sana Selasa lalu.

“Saya menemui penduduk di situ dan menyerahkan sumbangan daripada kerajaan negeri bernilai RM100,000, manakala sumbangan RM600,000 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk masyarakat Islam bagi meringankan beban mangsa ribut.

“Malah hari ini saya menambah bantuan kepada mangsa ribut dengan masing-masing RM200,000 daripada kerajaan negeri, manakala RM100,000 daripada Yayasan Perbandaran Kluang,” katanya yang berada di Johor Baru ketika kejadian kejadian pukul 2 pagi Khamis itu.

"Apabila sampai di rumah, pihak forensik sudah menyimpan bungkusan itu namun saya lihat gambar dan dapat mengagak apa isi kandungan bungkusan tersebut," jelasnya yang enggan mendedahkan kandungan sebenar.

Md Jais Sarday, Kluang

Artikel Sebelum

Mazlan Aliman Dalam Dilema

Artikel Berikut

Artikel Lain