suria

Mazlan Aliman Dalam Dilema

Mazlan Aliman

KUALA SELANGOR: Kurang 24 jam selepas diumumkan menang, Mazlan Aliman membayangkan akan meletak jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang baharu disandang pada pemilihan, Khamis.

Menurut Mazlan, hasrat berkenaan dibuat berikutan ‘rakan sealiran’ dengannya tewas dalam pemilihan kepimpinan baharu PAS bagi sesi 2015-2107.

“Ramai rakan akrab puluhan tahun berjuang dan berkorban telah tewas dalam pemilihan. Saya amat sedih dengan suasana ini dan ia mengganggu emosi saya. Ia detik yang sukar.

"Justeru, saya akan umumkan pada masa yang sesuai, samada kekal sebagai AJK PAS Pusat atau membuat keputusan melepaskan jawatan,” katanya.

Mazlan menang jawatan AJK PAS Pusat kali pertama pada pemilihan 2013.

Pemilihan PAS yang berlangsung pada Khamis menyaksikan kemenangan besar kumpulan ulama hingga beberapa pemimpin parti termasuk wakil rakyat dalam kepimpinan terdahulu tewas.

Keputusan menunjukkan 22 daripada 23 calon yang memenangi jawatan tertinggi kepimpinan PAS Pusat bagi sesi 2015-2017 terdiri daripada golongan ulama.

Antara Ahli Parlimen PAS yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan pro-Pakatan Rakyat dan tewas dalam pemilihan ialah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad, Dr Siti Mariah Mahmud, Hanipa Maidin dan Dr Hatta Md Ramli.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, beliau bagaimanapun akan terus menyumbangkan bakti dalam NGO berkenaan.

"Sungguh pun komitmen terhadap Anak akan diteruskan, kemelut dalaman parti telah memberi kesan terhadap diri saya.

"Sebagai manusia biasa dan penglibatan dalam PAS sejak 1986, situasi ketika ini paling mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi,” katanya.

Mazlan Aliman, PAS, Anak

Artikel Lain