suria

8 Pelajar, 2 Guru Dari Singapura Gagal Dihubungi selepas Gempa Bumi - Laporan

SINGAPURA: Sekumpulan pelajar dari Sekolah Rendah Tanjong Katong menyertai rombongan bersiar-siar di Gunung Kinabalu apabila gempa bumi bermagnitud 6.0 melanda pada Jumaat (5 Jun), lapor Channel NewsAsia (CNA).

Stesen televisyen tempatan itu melaporkan dengan memetik ibu bapa seorang daripada pelajar terbabit, James Ho sebagai berkata sekurang-kurangnya lapan daripada mereka tidak dapat dihubungi bersama dua orang guru.

Para pelajar berusia 12 tahun itu bersama guru mereka dikatakan telah bertolak ke Gunung Kinabalu pada Rabu untuk menyertai program kepimpinan dan dijangka kembali pada petang Isnin. 

CNA melaporkan bahawa ibu bapa yang bimbang dilihat bergegas ke sekolah untuk bermesyuarat dengan guru-guru pada petang Jumaat.

Seorang wanita berkata, anak perempuannya cedera dan "dalam perjalanan ke hospital"

Ho memberitahu CNA bahawa anak perempuannya berusia 12 tahun, Rachel ialah antara lapan pelajar yang terkandas di laluan Ferrata di Gunung Kinabalu.

Katanya, beliau tidak menerima apa-apa berita mengenai keadaan mereka.
"Ini berlaku pada waktu pagi dan sudah lebih 12 jam. 

Dan yang mengecewakan ialah kami tidak mendapat maklumat terkini mengenai operasi menyelamat," beliau  dipetik sebagai berkata.

Sebanyak 19 pelajar lagi dari sekolah tersebut telah selamat kembali, kata Ho sambil menambah, lima daripada mereka dan seorang guru mengalami cedera ringan.

Sadri Farick, yang anaknya mengalami kecederaan pada kaki selepas gempa bumi, juga melahirkan rasa kecewa kerana tidak mendapat maklumat dari semasa ke semasa.

Dalam satu kenyataan kepada CNA, Kementerian Pendidikan (MOE) mengesahkan bahawa 10 orang dari Sekolah Rendah Tanjong Katong belum diambil kira.

"Tiga buah sekolah, Sekolah Menengah Fuchun, Sekolah Menengah Greenridge dan Sekolah Rendah Tanjong Katong, berada di Gunung Kinabalu untuk mengikuti pengembaraan sambil belajar di luar negara.


Semua pelajar dan guru dari Fuchun dan Greenridge telah diambil kira  dan persiapan telah dibuat untuk membawa mereka pulang.

Artikel Lain