suria

14 Lagi Mayat Dipercayai Mangsa Sindiket Pemerdagangan Manusia Dikeluarkan

PADANG BESAR: Sebanyak 14 lagi mayat berkafan dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui dalam 12 kubur yang digali di hutan simpan Mata Air di sini, Jumaat.

Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail berkata tapak yang digali itu dikenali sebagai Kubur 24 dalam kawasan Malaysia, terletak kira-kira 100 meter dengan  garisan sempadan Malaysia/Thailand.

"Dua dari 12 kubur itu mengandungi dua mayat. Kesemua mayat ditemui dalam keadaan dikafan dengan sempurna," katanya semasa dihubungi dan menambah Kubur 24 mempunyai 91 kubur.

Sebelum itu sebanyak 35 mayat telah dikeluarkan dari Bukit Wang Burma di Wang Kelian setelah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem di percayai menjadi kem transit sindiket pemerdagangan manusia pada 25 Mei lepas.

Shafie berkata pasukan forensik dan Pasukan Gerak Am (PGA) mengambil masa lebih sejam untuk membawa turun mayat-mayat tersebut secara mengusung dan tiba di ladang Felcra, Lubuk Sireh di sini pukul 6.30 petang ini.

Semua mayat tersebut terus dibawa dengan kenderaan polis ke Hospital Sultanah Bhiayah di Alor Setar untuk ujian patologi, tambahnya.

Menurut Shafie sekiranya cuaca baik penggalian baki 79 kubur di Kubur 24 dijangka selesaikan Selasa ini.

Katanya halangan utama untuk membawa turun mayat adalah bentuk muka bumi kawasan terbabit yang berbatu dan curam manakala helikopter tidak dapat digunakan untuk tujuan itu.

Artikel Lain