suria

Tiada Rakyat Malaysia Terbabit Insiden Kapal Karam Di China

Pasukan menyelamat berusaha untuk menyelamatkan mangsa terbabit dalam insiden kapal karam di Sungai Yangtze, China pada Selasa lalu. Foto AFP

PETALING JAYA: Wisma Putra memberitahu tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden kapal karam di Sungai Yangtze di China.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis mengesahkan perkara itu berdasarkan senarai penumpang yang diberikan oleh pihak berkuasa China.

"Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai, China akan terus memantau keadaan.

"Kami menyampaikan ucapan takizah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa," menurut kenyataan kementerian itu.

Dilaporkan bahawa kapal penumpang itu karam di Sungai Yangtze di wilayah Hubei di China pada kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan Selasa lalu.

Kapal itu membawa lebih 450 orang, dengan kebanyakannya adalah pelancong warga emas. Punca kejadian masih belum dipastikan.

Dilaporkan, kapten dan ketua jurutera yang merupakan antara terselamat dalam insiden itu, mendakwa kapal berkenaan karam dengan pantas selepas terperangkap dalam ribut siklon.

Menurut stesen televisyen China, CCTV, jumlah kematian mencecah 26 orang setakat pagi Khamis.

Seramai 14 orang telah diselamatkan manakala nasib mereka yang lain masih belum diketahui. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain