suria

Ucapan Dasar Presiden Tentukan 'Suhu' Muktamar PAS

KUALA SELANGOR: Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 yang bermula pada Khamis pastinya tertumpu kepada ucapan dasar presiden dan juga pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti bagi sesi 2015-2017.

Berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan muktamar itu pada sebelah pagi dan diikuti sesi pemilihan pada sebelah petang.

Pemilihan itu membabitkan perebutan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan juga anggota jawatankuasa PAS Pusat.

Jawatan presiden menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Abdul Hadi dan bekas Naib Presiden Ahmad Awang manakala jawatan timbalan presiden menyaksikan pertembungan antara penyandangnya Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jawatan Naib Presiden yang memperuntukkan tiga kerusi pula menyaksikan saingan enam calon termasuk dua daripadanya ialah penyandang iaitu Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Empat lagi calon yang cuba merebut jawatan Naib Presiden ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar, anggota jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Seramai 55 calon pula akan bertanding merebut jawatan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat.

Muktamar Tahunan PAS kali ini juga disifatkan agak getir buat PAS yang dijangka akan membuat ketetapan berhubung pendirian sama ada akan kekal atau berundur daripada Pakatan Rakyat.

Kehadiran atau ketidakhadiran wakil sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP ke muktamar itu turut menjadi tanda tanya selepas kemelut yang melanda kedua-dua parti itu kebelakangan ini.

Setiausaha Pengelola Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Selasa dilapor mengesahkan bahawa parti itu tidak akan terlibat atau menghadiri ke majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ini.

DAP sebelum ini mengkritik hebat PAS ekoran cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan, selain telah memutuskan hubungan kerjasama dengan Presiden PAS, tetapi tidak dengan parti itu.

Hubungan kedua-dua parti itu dilihat mungkin bertambah sukar, selepas Dewan Ulama PAS Pusat pada muktamarnya semalam sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP dan memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Sebelum itu, bersempena dengan Muktamar PAS Pusat hari ini, tiga cabang parti itu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat telah selesai bermuktamar dan mengadakan pemilihan bagi cabang masing-masing pada Rabu.

Muktamar hari ini pula yang berlangsung sehingga Sabtu ini akan dihadiri kira-kira 1,057 perwakilan.

Muktamar PAS, Presiden, DAP, PKR

Artikel Sebelum

Dua Maut Selepas Rai Gawai

Artikel Lain