suria

Pemandu Pelancong Didakwa Rogol Guru

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu pelancong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis atas pertuduhan merogol seorang guru yang dikenalinya melalui laman sosial, bulan lepas.

Khairul Faizi Abu Bakar, 29, didakwa merogol dan pada masa sama menyebabkan kecederaan kepada guru berusia 34 tahun itu di sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu, Cheras, di sini pada 4.45 petang, 11 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Khairul Faizi juga mengaku tidak bersalah mencuri barang kemas iaitu dua bentuk cincin, seutas gelang tangan, seutas rantai dan sebentuk loket milik mangsa pada 5.07 petang, di lokasi dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau kemudian boleh dikenakan penjara atau denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping tidak menawarkan wang jaminan atas alasan tertuduh telah memukul mangsa dan menyebabkan kecederaan.

Hakim Azman Mustapha menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pudu Ulu, Rogol

Artikel Lain