suria

Kerajaan Pusat Runding Konsep Penurunan Kuasa Dengan Sarawak - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima skrol ikrar taat sedia daripada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem selepas bacaan ikrar pada majlis pemimpin bersama rakyat di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Khamis. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor (kanan).

KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sedang berunding dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bagaimana cara konsep 'penurunan kuasa' dapat dilaksanakan, yang akan memberikan beberapa kuasa tertentu milik jabatan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

"Selama ini kuasa banyak dipegang oleh jabatan kerajaan dan keputusan di buat di Putrajaya. Sudah sampai masanya kuasa diperturunkan kepada jabatan-jabatan kerajaan negeri Sarawak kalau jabatan kerajaan negeri boleh buat.

"Kita parti yang sama jadi kita boleh berunding," kata perdana menteri dalam ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat #SarawakforNajib, di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Khamis.

Mengulas ucapan Adenan mengenai tambahan royalti minyak dan gas kepada negeri ini, Najib berkata beliau akan menyemak permohonan itu.

"Saya sambut apa Adenan kata tadi, kalau nak royalti tambahan kita tengok dan runding dahulu. Saya tidak menolak tetapi saya kena semak.

"Kalau boleh saya nak bagi (royalti tambahan) kepada Sarawak supaya sektor gas dan minyak beri rahmat yang lebih kepada negeri ini," kata Najib.

Sementara itu, beliau berkata sejak lima tahun menjadi perdana menteri beliau sudah meluluskan lebih RM1 bilion, peruntukan serta merta kepada Sarawak termasuk meluluskan Lebuhraya Pan Borneo yang ditunggu-tunggu 50 tahun oleh rakyat negeri ini.

Beliau berkata Adenan juga mahu Pan Borneo dari Lundu ke Lawas jadi 'super highway' (lebuh raya laju) tidak perlu banyak lampu isyarat kerana kalau ada lampu isyarat, kena berhenti, tidak jadi 'super highway' lagi.

"Jadi saya telah telefon Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah), saya kata kita mesti ganti lampu isyarat ini dengan 'bypass' (pintasan) jangan ada (lampu isyarat) pun tidak apa, dan kalau perlu tambahan sikit lagi peruntukan pun tidak apa, kerana orang Sarawak setia kepada kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya dan mendapat tepukan gemuruh.

Perdana menteri berkata sokongan rakyat Sarawak kepada beliau dan kerajaan BN serta keputusan negeri ini untuk merdeka dalam Malaysia merupakan satu keputusan tepat, justeru itu Sarawak juga berhak untuk memiliki 'super highway'.

"Itu keputusan yang tepat. Rahmat merdeka mesti melimpah ruah kepada Sarawak. Oleh itu Pan Borneo jangan ada tol sama sekali, ini janji BN," katanya dan menambah kata lebuh raya itu akan menjadi game changer (faktor perubahan)kepada pembangunan di Sarawak.--Bernama

Adenan Satem, #SarawakforNajib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain