suria

Perwakilan PAS Mula Mengundi Saf Kepimpinan 2015-2017

KUALA SELANGOR: Seramai 1, 189 perwakilan yang layak mengundi mula memilih barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2015-2017 kira-kira pukul 4.10 petang, Khamis.

Pengundian dilakukan mengikut negeri dan dijangka berakhir pukul 7 malam Khamis.

Tumpuan kini terarah kepada tiga jawatan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan naib presiden yang menyaksikan pertembungan sengit antara kumpulan ulama dan profesional.

Pada pemilihan kali ini, berlaku pertembungan satu lawan satu untuk dua jawatan tertinggi parti itu, manakala jawatan naib presiden membabitkan pertandingan enam penjuru.

Bagi jawatan presiden, penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menentang Ahmad Awang.

Penyandang Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu pula akan dicabar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam usaha mengekalkan jawatannya itu.

Dua penyandang Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub akan dicabar empat calon lain iaitu, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad.

Penyandang jawatan Presiden, Abdul Hadi membuang undi kira-kira pukul 4.30 petang.

Sebaik selesai membuang undi, Hadi disambut dengan laungan takbir.

Jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyaksikan 18 kerusi dipertandingkan.

Keputusan barisan kepimpinan baharu akan diumumkan awal pagi Jumaat.

Artikel Lain