suria

Cuba Pertahan Tindakan Kritik Presiden PAS, Hanipa Kena 'boo'

KUALA SELANGOR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin sekali lagi diejek ketika berucap di pentas perhimpunan terbesar parti Islam itu pada Khamis.

Kejadian memalukan itu berlaku apabila beliau cuba mempertahankan tindakannya yang mempertikaikan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhuhung Akta 355 oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.

Hanipa turut disorak "boo" oleh sebilangan besar perwakilan PAS yang tidak senang dengan kenyataan beliau.

Rata-rata perwakilan tidak berpuas hati dengan tindakan Hanipa kerana mendakwa presiden PAS seolah-olah membelakangkan Jawatankuasa PAS Pusat sebelum mengemukakan RUU berkenaan.

Sebelum ini pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor, Hanipa turut menerima nasib yang sama apabila beliau turut diejek dengan sorakan "boo" ketika mengulas mengenai isu krisis politik di Selangor.

Terdahulu pada permulaan sesi pembentangan laporan tahunan 2014, seorang perwakilan dari Segambut mempersoalkan peranan Hanipa selaku Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS kerana tidak mempertahankan tindakan Hadi dalam isu hudud.

"Saya ingin bertanya, Hanipa selaku pengerusi lajnah undang-undang...tapi kenapa buat kenyataan yang bertentangan dengan presiden?

"Beliau sepatutnya mempetahankan presiden dalam isu hudud," katanya sambil disambut laungan takbir oleh perwakilan.

Tidak senang dengan soalan berupa 'serangan' oleh perwakilan berkenaan, Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang tampil memberi penjelasan.

"Saya perlu jelaskan supaya apabila tuan-tuan mengundi nanti tidak dalam keadaan masih lagi percaya dengan benda tak betul...tuduhan terhadap saya.

"Saya ingin bertanya kat mana ada kenyataan saya yang menyebut bertentangan dengan presiden supaya senang saya menjawab.

"Isunya bukan hudud, tapi cara RUU persendirian itu dibawa ke Parlimen. Kami AJK PAS Pusat tidak pernah dimaklumkan. Ketua whip (Datuk Mahfuz Omar) juga tidak tahu," katanya.

Tambah Hanipa selepas diteliti RUU berkenaan, terdapat beberapa kelemahan yang akan menyebabkan ianya tertangguh.

"Kalau ianya dibincangkan, kita pasti akan pastikan ia dibuat dengan baik dan lengkap. Kita akan hadapi masalah.

"Saya tak kisah kena boo. Dalam Parlimen pun Ahli Parlimen Umno buat begitu...tak ada masalah. I love you," katanya.

Muktamar, PAS

Artikel Lain