suria

Lelaki Disyaki Edar Heroin RM51,450 Ditahan

Heroin 1.03 kilogram dirampas daripada seorang lelaki yang ditahan dipercayai pengedar dadah.

IPOH: Polis menahan seorang lelaki disyaki mengedar heroin seberat 1.03 kilogram bernilai RM51,450 dalam serbuan di Taman Pusing Murni, Pusing dekat Batu Gajah, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak Asisten Komisioner Yap Toon Khuan berkata, hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan sejak dua minggu lepas, sepasukan polis dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan suspek berusia 29 tahun yang berada di dalam sebuah kereta.

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan kira-kira pukul 5 petang, suspek sedang menunggu pelanggan untuk urusan jual beli dadah di dalam kereta Honda City di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

"Polis menemui dadah dipercayai heroin seberat 914 gram di dalam kereta tersebut," katanya pada sidang media di IPK di sini, Isnin.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan yang sama dan menemui heroin seberat 115 gram.

"Polis turut menyita kereta yang dinaiki suspek serta seutas rantai emas dengan nilai keseluruhan sebanyak RM62,150," katanya.

Toon Khuan berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal 2014 di sekitar Menglembu dan Pusing.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan suspek merupakan anggota sindiket dadah dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana bergaduh di dalam perkarangan balai polis," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia direman sehingga 4 Jun ini bagi membantu siasatan.Toon Khuan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain