suria

Kelantan Masih Berunding Serah Projek Lebuhraya Rakyat Kepada Pusat - Hanifa

Kerajaan Kelantan mengumpul dana daripada orang ramai untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Rakyat.

KOTA BARU: Kelantan masih lagi berunding tentang kemungkinan menyerahkan projek pembinaan Lebuhraya Rakyat kepada kerajaan Persekutuan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad.

Hanifa berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai apa-apa masalah dengan projek itu tetapi kerajaan Persekutuan dilihat memahami dan merasakan Kelantan mungkin terbeban dengan projek itu dan mahu membantu.

Jika projek berkenaan diserahkan kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri hanya akan menyiapkan projek Lebuhraya Rakyat sepanjang 10 kilometer dari Bukit Tiu, Machang ke Kampung Berangan Mek Nab, juga di Machang, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

"Bakinya sepanjang 20.5 kilometer lagi mungkin akan disiapkan oleh kerajaan Persekutuan iaitu dari Kampung Berangan Mek Nab di Machang ke Dusun Damar di Kuala Krai," jelas beliau.

Beliau diminta mengulas laporan yang menyebut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan kemungkinan kerajaan negeri menyerahkan projek pembinaan itu kepada pusat untuk disiapkan.

Hanifa berkata, setakat ini kerja meratakan tanah untuk lebuh raya itu telah dilakukan sejauh lima kilometer.

Kerajaan Kelantan melancarkan pembinaan Lebuhraya Rakyat sepanjang 30.5 kilometer dari Bukit Bakar, Machang hingga Dusun Damar, Kuala Krai itu pada Ogos tahun lepas.

Projek berkenaan dianggar menelan belanja RM854 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2017.-- Bernama

Artikel Lain