suria

Ops Warta: Hanya Empat Peratus Waran Tangkap Telah Jelaskan Saman

KUALA LUMPUR: Hanya empat peratus daripada 1.59 juta waran tangkap yang telah dikeluarkan kepada pesalah trafik atau 58,177 saman telah menjelaskan saman mereka sejak Ops Warta dilancarkan pada 19 Mei lepas.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata sementara 550,487 pelbagai saman turut dijelaskan oleh pesalah trafik.

Sementara itu, sebanyak 2,691 pesalah trafik yang telah dikeluarkan waran tangkap telah ditahan polis trafik, dan daripada jumlah itu sebanyak 925 orang telahpun didakwa di mahkamah, katanya dalam satu kenyataan, di sini Ahad.

Mohd Fuad berkata manakala baki sebanyak 1,766 orang telah diberi jaminan polis, namun akan tetap dituduh di mahkamah.

"Sejumlah 13,191 individu telah menyerah diri di balai polis berhampiran dan dikenakan denda maksima RM300 bagi setiap waran tangkap yang dimiliki," katanya.

Mohd Fuad berkata penguatkuasaan Op Warta itu telah menunjukkan peningkatan positif yang mana orang ramai mula membuat semakan dan bayaran saman trafik yang dimiliki. 

Katanya, pihaknya terus memperhebat lagi usaha bagi mencari, mengesan dan menangkap mereka yang telah dikeluarkan waran tangkap dan masih enggan menyelesaikan saman trafik masing-masing.

Justeru, katanya mereka yang telah dikeluarkan waran tangkap perlu tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi menyelesaikan isu saman mereka sebelum dihadap ke mahkamah.

Ops Warta kini sedang mengesan pesalah trafik yang mempunyai status waran tangkap yang belum diselesaikan melalui operasi sekatan jalan raya, termasukpergi ke premis mereka bekerja.

-- BERNAMA
Ops Warta

Artikel Lain