suria

Kanak-Kanak Berusia Dua Tahun Antara Lima Ditahan Di Pasar Malam

Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun antara lima warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Kedah dalam satu operasi di pasar malam di Kulim, kira-kira 117km dari sini, pada Sabtu.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata warga asing berumur antara dua hingga 56 tahun ditahan di dua lokasi berbeza di sekitar Kulim ketika sedang mengutip derma dan mengemis.

Beliau berkata seorang lelaki, wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Kemboja serta seorang lelaki Thailand ditahan ketika sedang mengemis di pasar malam itu.

"Seorang lagi lelaki Thailand ditahan ketika mengutip derma untuk pembinaan masjid," katanya dalam kenyataan, di sini, Ahad.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki pengenalan diri dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Mohamad Yusri berkata operasi oleh tujuh anggota Imigresen itu turut disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-- BERNAMA
warga asing

Artikel Lain