suria

Tiada Kes Kesihatan Serius Babitkan Pelarian & Pendatang

Datuk Seri Dr Hilmi Yahya
KUALA KRAI: Kementerian Kesihatan tidak mengesan sebarang kes kesihatan serius melibatkan 1,158 pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh yang mendarat di Langkawi, Kedah, 11 Mei lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, buat masa kini sebahagian besar pelarian berkenaan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit seperti cirit-birit, tibi dan kencing tikus.

"Cuma ada tiga atau empat pelarian Rohingya yang dikesan mengalami sakit kusta dan kita telah asingkan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) anjuran Bahagian Pengurusan Latihan (BPL) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Masjid Mukim Laloh di sini, Jumaat.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong merangkap Ketua Umno bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman.

Dr Helmi berkata ujian saringan terhadap pelarian Rohingya merupakan prosedur biasa yang diamalkan ke atas warga asing bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang penyakit.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata sebanyak 8,000 pelajar dalam 13 disiplin perubatan dilahirkan 33 kolej kesihatan milik kerajaan setiap tahun.

"Kesemua pelajar ini akan diserap menjadi kakitangan awam dalam bidang perubatan dan kita juga mengambil 1,600 pelajar dari kolej swasta yang akan berkhidmat dengan kerajaan.


"Kita sasarkan pada 2020 nanti, seorang pegawai perubatan mampu memberikan khidmat kepada 400 penduduk," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain