suria

Indonesia Cadang Naikkan Gaji Pembantu Rumah Kepada RM1,200 Sebulan

KUALA LUMPUR: Indonesia telah menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk penambahbaikan syarat kerja pembantu rumah dari negara itu di Malaysia, termasuk menaikkan gaji kepada RM1,200.

Timbalan Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono berkata kenaikan gaji daripada RM800 kepada RM1,200 sebulan itu bagi menjadikan pekerjaan pembantu rumah di Malaysia lebih kompetitif.

"Jika dilihat gaji di negara lain, ia adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan gaji yang ditawarkan di Malaysia," katanya kepada Bernama di Kedutaan Besar Indonesia di sini, Jumaat.

Beliau berkata kertas cadangan itu telah diserahkan kepada Malaysia sewaktu mesyuarat kumpulan kerja bersama antara Kementerian Susumber Manusia kedua-dua negara di Putrajaya pada 12 dan 13 Mei lepas.

Katanya delegasi Indonesia diketuai Ketua Pengarah Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja Reyna Usman manakala Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Hermono berkata Indonesia turut mencadangkan supaya Malaysia memudahkan urusan pemprosesan dokumen serta memansuhkan caj bayaran yang dikenakan kepada pembantu rumah yang dianggarkan sebanyak RM1,800 seorang.

"Kalau kita biasa sediakan saluran rasmi yang lebih efisien, yang lebih murah, gaji yang lebih baik dengan perlindungan yang lebih baik, diharap mereka berurusan dengan saluran yang sah.

"Dan sekarang ini, kita menantikan maklum balas dari Malaysia," kata beliau.

Tahun lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi mengatakan republik itu bercadang untuk berhenti menghantar warga wanitanya keluar negara untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Awal bulan ini, republik itu telah memutuskan untuk tidak menghantar rakyatnya ke negara-negara Timur Tengah sebagai pembantu rumah susulan beberapa kes penderaan kejam dan pembunuhan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jokowi pada pertemuan Februari lepas juga bersetuju untuk menwujudkan hanya satu saluran pengambilan pembantu rumah dari republik itu ke Malaysia bagi tujuan memelihara kepentingan mereka selain menangani masalah kemasukan pendatang tanpa izin.

Dianggarkan lebih 4,000 pembantu rumah dari Indonesia masuk melalui saluran rasmi, manakala 105,000 pembantu rumah dilaporkan memasuki negara ini secara tidak sah. 

Indonesia, Pembantu Rumah

Artikel Berikut

Artikel Lain