suria

Dewan Rakyat Pertimbang Selit Usul RUU Pinda Akta Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sedang mempertimbangkan untuk menyelitkan usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ke dalam aturan urusan mesyuarat bagi membolehkan ia dibahaskan.

Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata usul berkenaan mungkin akan dibahaskan paling awal dalam tempoh tiga minggu lagi.

"Speaker bagi satu indikasi kepada kita (Kerajaan PAS Kelantan), dia akan cuba supaya usul ini dibawa ke dalam peraturan mesyuarat.

"Sama ada bila dan sebagainya, ia terpulang kepada Speaker. Kita harap dapat, sebab perkara ini bukan benda kontroversi, dan bukan benda yang sensitif kepada mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu mengenai usul tersebut yang tidak berjaya dibentangkan di Parlimen pada 9 April lalu kerana kesuntukan masa.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan notis agar Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah Persendirian (Pindaan 2015) itu dibentangkan pada 18 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta DAP supaya tidak mencampuri urusan PAS terutamanya berkaitan dengan pemilihan parti itu yang akan berlangsung, awal bulan depan.

"Saya boleh kata beginilah, ini menjelang pemilihan PAS, biar PAS uruskan sendiri, parti lain boleh tengok sahaja," katanya.

Pada Ahad,  Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat mungkin tidak akan wujud lagi dalam tempoh dua minggu lagi sekiranya  Abdul Hadi terus mempertahankan kedudukan nombor satu dalam PAS.

Hubungan PAS dan DAP semakin tegang apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan jasad Hadi masih bersama Pakatan tetapi hatinya pula bersama Umno.

PAS, Dewan Rakyat

Artikel Lain