suria

Soalan Lebih Agresif Jika CEO 1MDB Dan Bekas Menipu - PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi amaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO syarikat pelaburan itu, Datuk Shahrol Halmi bahawa mereka akan disoal siasat dengan lebih agresif jika didapati berbohong dengan alasan yang diberikan untuk tidak hadir pada sesi pendengaran yang dijadualkan pada Selasa lalu.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata jika terbukti dakwaan dua saksi penting itu menangguhkan sesi pendengaran tersebut atas urusan berada di luar negara tidak benar,  pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mereka semasa soal siasat yang akan diadakan pada 10 Jun ini.

"Memandangkan mereka tahu kami serius, mungkin mereka perlu lebih masa untuk bersedia. Kami beranggapan mereka akan datang dengan niat jujur untuk beritahu kami apa sebenar berlaku.

"Namun kali ini kalau ada bukti mereka menipu kami, maka soalan akan lebih agresif daripada biasa akan ditanya. PAC tidak akan bersimpati," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Dua saksi penting itu membatalkan sesi soal siasat bersama PAC pada saat terakhir kerana Arul mendakwa mempunyai urusan di luar negara manakala Shahrol pula meminta masa tambahan sehingga bulan hadapan untuk menyediakan diri berhadapan dengan perbicaraan PAC.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata perkara yang perlu diberi penekanan semasa sesi pendengaran itu nanti adalah penjelasan mereka mengenai apa sebenarnya yang berlaku semasa mereka menjadi CEO syarikat pelaburan tersebut.

"Jika mereka hadir, kami akan tanya mereka sama ada betul mereka di luar negara. Tapi apa yang lebih penting ialah untuk kita tahu apa yang sebenarnya berlaku semasa mereka menjadi CEO 1MDB.

"Itu lebih penting daripada sama ada mereka mempunyai alasan yang baik atau tidak untuk tidak hadir," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendesak Arul dan Shahrol perlu mendedahkan butiran lanjut kepada PAC mengenai urusan penting yang perlu mereka hadiri sehinggakan terpaksa menangguh untuk hadir sesi pendengaran pada Selasa lalu.

"Di manakah mereka berdua pada hari kejadian (26 Mei). Adakah mereka berada di Dubai ataupun mengadakan penerbangan pantas ke Singapura? Ataupun mereka pergi bersama-sama, atau secara berasingan?," soal Tony.

1MDB, PAC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain