suria

Pemuda PAS Ipoh Timur Tolak Nik Abduh

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur secara terbuka menolak Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagi dipilih mengisi jawatan ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dalam pemilihan parti Jun ini.

Ketuanya Salman Saleh berkata, pendirian terbuka itu sekaligus menyaksikan pihaknya mahu penyandang jawatan, Sauhaizan Kayat kekal sebagai peneraju sayap parti itu.

"Kami juga secara terbuka menyokong gandingan Suhaizan iaitu Dr Raja Ahmad Iskandar yang juga bekas ketua Dewan Pemuda PAS Perak sebagai gandingannya bagi jawatan timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Pusat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Selain itu menurut Salman, Pemuda Ipoh Timur turut menyatakan sokongan terhadap Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan,  Nor Azman Mohamad bagi jawatan naib ketua Dewan Pemuda PAS.

"Kami yakin mereka semua mampu menggalas tugas berat ini dan akan terus mempersada Pemuda PAS serta mengukuhkan kerjasama dengan Pemuda Pakatan Rakyat.

"Ianya jelas sikap dan semua kenyataan seiring dengan pendirian parti dan keputusan Muktamar Tahunan PAS agar menjadikan Pakatan sebagai satu pentas terutamanya di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) untuk berdepan antara satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Pemilihan kepimpinan Pemuda PAS Pusat yang baharu Jun ini menyaksikan saingan satu lawan satu bagi tiga jawatan tertinggi sayap itu.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, Suhaizan berhadapan Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat manakala bagi jawatan timbalan ketua Pemuda, penyandang, Muhammad Khalil Abdul Hadi akan ditentang Raja Ahmad.

Sementara itu bagi jawatan naib ketua Pemuda, Nor Azman akan menentang penyandang, Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Pemuda PAS, Ipoh Timur

Artikel Lain