suria

Najib Atur Jelajah Seluruh Negara

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mula menjelajah ke seluruh negara bagi menyampaikan mesej bahawa beliau tetap akan meneruskan khidmat dan tidak tunduk kepada tekanan untuk meletak jawatan.

Perdana Menteri yang baharu pulang dari Jepun pada Selasa malam berhadapan jadual yang padat dengan mesyuarat dan acara tertentu.

Pada Sabtu ini beliau akan ke Perlis untuk bertemu dengan pemimpin Umno dan menghadiri majlis makan di Dewan Wawasan 2020 di Kangar serta menyampaikan\ anugerah kepada pemenang "Desa Sejahtera 1Malaysia" di Kampung Kurong Tengar, Kuala Perlis.

Sebelum ini Najib turut menghadiri beberapa perhimpunan besar yang lain.

Beliau berada di Kota Belud, Tawau, Johor Baru, Gopeng dan Pekan.

Ketika menghadiri perhimpunan-perhimpunan besar itu Najib bukan sahaja menjelaskan mengenai dasar-dasar kerajaan, tetapi turut menggunakan platform tersebut untuk menerangkan isu-isu semasa.

Najib menggunakan kesempatan untuk menjelaskan mengenai isu kontroversi khususnya berhubung BR1M, pembelian kontroversi tanah Tun Razak Exchange oleh Tabung Haji, 1MDB dan tekanan supaya meletak jawatan.

Seorang pemimpin Umno Johor berkata, jumlah kehadiran yang baik pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri boleh menjadi petunjuk bahawa beliau masih popular di kalangan orang ramai walaupun wujud pelbagai tuduhan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mereka datang untuk mendengar sendiri penjelasan terhadap isu-isu yang berlaku. Apa pun, Najib perlu berdiri dan membela dirinya sendiri. Beliau juga perlu meyakinkan rakyat bahawa beliau komited untuk menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan," kata pemimpin berkenaan.

Veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata walaupun Najib patut turun padang dan menyangkal pelbagai dakwaan terhadapnya, beliau perlu elak daripada menyerang Dr Mahathir.

Artikel Sebelum

Artikel Lain