suria

Kami Tidak Mempunyai Pekerjaan Untuk Semua - CEO MAS

SHAH ALAM: Menjaga maruah semua kakitangan adalah isu paling utama bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Christoph Mueller.

Menurut Mueller, terdapat banyak pihak yang bekerja keras di belakang tabir untuk memastikan layanan yang adil dan sama rata dibuat dalam proses pemilihan kakitangan.

"Saya tidak menganggap peranan saya adalah hanya untuk menamatkan pekerja.

"Pada pandangan peribadi, kebimbangan terbesar saya dari sudut kemanusiaan dan kepimpinan ialah prosedur ini berpotensi untuk mewujudkan dua kelas masyarakat kerana ada yang kalah dan menang. Dan itu adalah sangat dikesali," katanya.

Mueller berkata MAS mempunyai kakitangan yang berkelayakan bagi menjalankan fungsi tertentu tetapi mereka tidak mempunyai pekerjaan untuk semua.

Sebagai penyelesaian sementara, Mueller berkata MAS sedang giat mencari ruang untuk kakitangan mereka termasuk juruterbang di syarikat penerbangan lain, dengan pilihan untuk mengambil mereka kembali bekerja satu hari nanti.

"Saya melakukan perkara yang sama dalam tugas saya yang terdahulu dan itulah cara bagaimana kita cuba untuk tidak kehilangan mereka," kata Mueller.

Tetapi beliau berkata adalah sukar untuk cuba memadankan kedudukan mereka sekarang dengan syarikat baharu.

Mueller berkata MAS akan menghantar surat (penamatan dan tawaran) ke alamat rumah kakitangan mereka Isnin depan sebagai menghormati kehendak mereka.

Beliau berkata adalah penting untuk kakitangan yang tidak diserap ke dalam syarikat baru mendapat penjelasan dan tidak dilihat oleh jiran-jiran seolah-olah prestasi mereka tidak memuaskan.

"Itu bagi saya adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan. Proses itu mestilah supaya mereka tidak kehilangan maruah," katanya.

Mueller berkata beliau menjangkakan proses pemulihan keseluruhan MAS bakal mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun.

"Saya tidak pasti sukan apa yang anda sokong, tetapi untuk membawa pasukan dalam kumpulan kedua kepada yang pertama tidak boleh dilakukan dalam satu musim.

"Anda perlu mewujudkan dinamik tertentu," katanya.

MAS, Christoph Mueller

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain