suria

AES Berjaya Kurangkan Kemalangan Maut

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berjaya mengurangkan kemalangan maut dan meningkatkan kadar pematuhan peraturan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata berdasarkan analisis Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terhadap perangkaan kemalangan jalan raya di 14 lokasi yang dipasang kamera AES, didapati kemalangan maut bagi tempoh lapan bulan selepas pelaksanaannya menurun kepada 12 kes berbanding 19 kes bagi tempoh yang sama sebelum pelaksanaan sistem itu.

"Ini bermakna AES telah berjaya mengurangkan sebanyak tujuh kemalangan maut atau 36.84 peratus bagi tempoh lapan bulan sahaja," katanya dalam jawapan bertulis kepada Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) di persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Azman meminta kementerian menyatakan jumlah denda yang dikutip melalui sistem AES setakat ini dan keberkesanannya mengurangkan kemalangan jalan raya.

Selain itu, Liow berkata kajian MIROS menunjukkan sebelum pelaksanaan sistem itu, secara purata kadar pematuhan had laju pada hari bekerja di enam lokasi kamera tetap AES adalah kira-kira 63 peratus berbanding 91 peratus selepas pelaksanaannya.

"Bagi empat kamera tetap AES di kawasan persimpangan lampu isyarat pula, kadar ketidakpatuhan lampu isyarat adalah 4.3 peratus sebelum pelaksanaan AES dan menurun kepada 2.2 peratus selepas pelaksanaannya," katanya.

Liow berkata mengambil kira senario tersebut, kerajaan yakin sekiranya AES dilaksanakan di seluruh negara, kadar pematuhan terhadap peraturan lalu lintas akan meningkat sekaligus bilangan kemalangan maut akan menurun secara drastik.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 264,750 saman AES telah dibayar, melibatkan jumlah RM76,647,750,00 sehingga 30 April tahun ini.

Parlimen, AES

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain