suria

Mahkamah Rayuan Teliti Proses Penukaran Agama Tiga Kanak-Kanak

M.Indira Gandhi

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa meneliti proses penukaran agama tiga orang kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mempengerusikan panel tiga orang hakim terdiri daripada Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Dr Badariah Sahamid berkata intipati dalam rayuan adalah mengenai penukaran agama kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, panel meminta pihak-pihak berkaitan mengemukakan mengenai proses penukaran agama ketiga-tiga kanak-kanak itu yang kini berusia 18, 17 dan tujuh tahun. 

Penasihat Undang-undang Perak Rohana Abd Malek mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan dua pihak lain, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhas sanmewakili kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, sementara peguam Hatim Musa mewakili bapa mualaf terbabit, Muhd Riduan Abdullah yang dahulu dikenali sebagai K. Patmanathan.

Keenam-enam perayu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh yang membatalkan sijil penukaran agama ketiga-tiga kanak terbabit dan memutuskan bahawa sijil itu adalah tidak sah.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Muhd Riduan hak penjagaanketiga-tiga anaknya itu selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam.

Mahkamah Tinggi Sivil juga mengisytiharkan bahawa perintah hak penjagaan itu adalah tidak sah dan batal kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah hak penjagaan apabila pihak lain (ibu) bukan beragama Islam.

Peguam Fahri Azzat, Aston Paiva dan M. Kulasegaran mewakili ibu kanak-kanakitu,  M.Indira Gandhi, seorang guru tadika. 

Terdahulu, Rohana berhujah bahawa sijil penukaran agama adalah sah di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.

Beliau berhujah bahawa seksyen itu menyebut bahawa jika kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, dia perlu mendapat keizinan ibu bapa atau penjaganya secara bertulis yang mengizinkan untuk memeluk agama Islam.

"Oleh itu, sijil penukaran agama tidak boleh dipersoalkan kerana Seksyen 106 telah dipatuhi," katanya.  

Peguam Fahri Azzat pula berhujah bahawa Seksyen 96, enakmen itu menyebut bahawa seseorang yang mahu memeluk Islam antara lain mesti mengucap dua kalimah Syahadah dan pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu.

Beliau berkata semasa penukaran agama pada April 2009, kanak-kanak itu berusia 12 dan 11 tahun serta 11 bulan.

Panel menangguhkan penghakiman ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

bapa mualaf, penukaran agama

Artikel Lain