suria

Makmal Haram Dibongkar, Rampas Dadah RM10 Juta

Bukit Aman sekali lagi berjaya membanteras kegiatan memproses dan menyeludup dadah di negara ini.

KUALA LUMPUR: Sebuah makmal haram yang disyaki lubuk memproses dadah untuk bekalan dalam dan luar negara, khususnya Indonesia dibongkar susulan penahanan lapan suspek serta rampasan bernilai lebih RM10 juta.

Kejayaan itu dicapai hasil kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, makmal haram yang memproses syabu dan ekstasi itu beroperasi di Sepang.

"Lapan suspek ditahan dalam tujuh serbuan di sekitar Wangsa Maju, Damansara, Sri Kembangan serta Sepang.

"Lima daripadanya adalah warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 29 tahun, manakala dua lagi suspek dikenal pasti sebagai lelaki warga Sri Lanka yang masing-masing berumur 30 dan 32 tahun serta seorang lelaki rakyat India berumur 39 tahun," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Isnin.

Dalam serbuan tersebut, kata Mohd Mokhtar, pihak polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 34.76 kilogram (kg) serta pil ekstasi seberat 5.6 kg, selain bahan kimia serta kelengkapan yang digunakan dalam memproses dadah tersebut.

"Bahan-bahan kimia yang digunakan dalam memproses dadah tersebut dipercayai diperoleh daripada India dan Sri Lanka," kata Mohd Mokhtar lagi.

Selain itu, katanya, sebuah kereta BMW 3 Series yang dianggarkan bernilai RM40,000, wang tunai sebanyak RM100,550, serta barang kemas bernilai RM55,000 turut disita dalam serbuan tersebut.

Katanya lagi, lapan suspek tersebut direman selama tujuh hari sehingga 29 Mei ini mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi siasatan lanjut.


Artikel Lain