FILEM terbitan produksi Arab yang menjalani lebih 40 peratus penggambaran di Malaysia bakal menemui penonton di lebih 25 negara bermula 8 Oktober ini.Lebih membanggakan, karya arahan Mootaz El Tomy itu turut menampilkan barisan pelakon popular dari Arab iaitu Karim Abdel Aziz, Yasmine Sabri dan pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater. Filem yang pada asalnya diberi judul Mr VIP sebelum ditukar kepada Wanted by Family atau Matlob A’liliyan dalam bahasa Arab itu diterbitkan menerusi kerjasama produksi Inifinity Films dan syarikat produksi mega dari negara berkenaan, Synergy Plus.Bakat Karim Abdel Aziz masih menjadi pilihan peminat filem Arab. Penerbitnya, Abdulrahman Suud, berkata filem berkenaan dijadualkan ditayangkan di lebih 450 pawagam di seluruh dunia, sekali gus membuka peluang besar untuk Malaysia turut mendapat perhatian penonton antarabangsa.Menurut Abdulrahman, antara negara yang bakal menayangkan filem berkenaan ialah Mesir, Qatar, Iraq, Oman, Lebanon, Kuwait, Bahrain, Syria, Maghribi, Algeria, Tunisia dan Jordan."Tidak ketinggalan Amerika Syarikat, Kanada, Turki, Australia, United Kingdom, Ireland, Perancis, Sepanyol, Portugal, Itali, Jerman, Switzerland dan Sweden."Filem ini juga akan ditayangkan di Poland, Belgium, Belanda, Denmark, Norway, Luxembourg, Finland, Greece, Brazil dan Argentina," katanya.ARTIKEL BERKAITAN: Filem 'Jerat' telan kos RM3 juta demi standard antarabangsaARTIKEL BERKAITAN: Penerbit Konspirasi mohon henti sebarang spekulasi, keputusan tamat tayangan tiada pengaruh luarDalam pada itu, Abdulrahman memberitahu pihaknya kini sedang mengusahakan tayangan filem berkenaan di Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).Katanya, beberapa dokumen berkaitan sudah diuruskan dan pihak produksi turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib."Untuk tayangan di Malaysia, pihak kami sudah menguruskan dokumen berkaitan dengan kerjasama serta bantuan FINAS."Malah, pihak kami juga sudah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif organisasi berkenaan."Jika mengikut perancangan, tayangan di Malaysia berkemungkinan besar turut berlangsung dalam bulan sama. Semoga segala yang dirancangkan akan dipermudahkan," katanya.Abdulrahman (dua dari kanan) sudah adakan perbincangan bersama pihak Finas berhubung tayangan filem ini di Malaysia.Sementara itu, Abdulrahman berkata penglibatan Malaysia dalam filem berkenaan bukan sekadar sebagai lokasi penggambaran, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha memperkenalkan wajah dan tarikan negara kepada penonton antarabangsa.Lebih 40 peratus penggambaran filem berkenaan dilakukan di Malaysia dengan beberapa mercu tanda ikonik Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur dan Bangunan Sultan Abdul Samad turut dipaparkan."Saya mahu menjadikan medium seni sebagai ruang mempromosikan industri pelancongan tanah air."Kalau tonton treler filem ini, peminat Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri khususnya akan 'teracun' untuk menjejaki lokasi serta destinasi menarik di Malaysia yang dipaparkan."Malah, nama Malaysia sendiri disebut berulang kali dalam filem ini," katanya.Berasal dari Iraq namun membesar di Malaysia, Abdulrahman berkata kecintaannya terhadap negara ini menjadi antara sebab utama dia mahu menjadikan Malaysia sebagai lokasi pilihan produksi filem dan televisyen dari negara Arab.Katanya, dia mula menetap di Malaysia sejak berusia lapan tahun selepas ibu bapanya menerima tawaran pekerjaan di Kuala Lumpur.Abdulrahman yakin filem ini akan mendapat tempat di hati penonton."Saya bersekolah dan mencari rezeki di Malaysia selain pernah menetap di Jepun dan India."Namun bumi Malaysia sudah memahat rasa paling istimewa yang lahir tanpa prejudis."Justeru, saya mahu usaha menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama syarikat penerbitan filem dan TV negara Arab akan mencipta kesinambungan," katanya.Kejayaan Wanted by Family menjalani penggambaran di Malaysia diharap menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak produksi antarabangsa untuk memilih negara ini sebagai lokasi penggambaran.Penggambaran filem terbabit mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Agensi Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Menariknya, produksi berkenaan turut membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan apabila menggunakan seramai 220 kru Malaysia sepanjang penggambaran.Selain itu, seramai 33 kru termasuk barisan pelakon dari Mesir turut terlibat dalam produksi berkenaan.