suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Filem 'Jerat' telan kos RM3 juta demi standard antarabangsa

Dari kiri: Pekin, Aprena bersama penerbit dan pengarah filem Jerat.

DEMI memenuhi cita rasa penonton masa kini, RedFiress Film Production dengan kerjasama Captain Filmmakers Sdn. Bhd. melaburkan lebih RM3 juta bagi menghasilkan filem seram Jerat yang dijangka menawarkan pengalaman sinematik lebih memuaskan.

Pengarahnya, Roy Krishna berkata, keputusan menghasilkan naskhah berskala besar itu bukan dibuat secara kebetulan tetapi hasil penelitian terhadap perkembangan industri filem serta perubahan corak penerimaan penonton.

Menurut Roy, penonton kini lebih terbuka terhadap karya yang menawarkan pengalaman sinematik lebih intensif dan berkualiti.

Roy (kanan) dan wakil penerbit sanggup berbelanja besar demi kepuasan penonton.

"Pendekatan ini diambil kerana kami mahu filem ini kelihatan lebih bertaraf antarabangsa. Kami turut membuat kajian terhadap pelbagai karya luar negara bagi memahami trend dan cita rasa penonton masa kini.

"Berdasarkan kajian dilakukan, ramai penonton lebih tertarik kepada babak yang mampu menimbulkan rasa takut, cemas dan geli, sekali gus memberikan impak emosi yang lebih kuat. Jalan ceritanya juga dibangunkan dengan teliti dan menunjukkan tahap kematangan yang sangat baik," katanya.

Memilih genre seram sebagai nadi utama penceritaan, Roy percaya gabungan elemen emosi, debaran dan ketegangan mampu memberikan pengalaman tontonan yang lebih mendalam kepada penonton tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN:  Penerbit Konspirasi mohon henti sebarang spekulasi, keputusan tamat tayangan tiada pengaruh luar

ARTIKEL BERKAITAN: 'Lu Mafia Gua Gangster' Filem Untuk Individu Tertekan

Malah katanya, Jerat hadir dengan identiti berbeza berbanding kebanyakan filem tempatan yang berada di pasaran ketika ini.

"Sebelum ini penonton lebih banyak disajikan dengan filem yang mengetengahkan elemen aksi dan perjuangan. Jerat pula memberi penekanan kepada unsur seram sebagai elemen utama yang menggerakkan keseluruhan perjalanan cerita.

Roy percaya pemilihan Aprena dan Pekin akan memberi impak lebih dalam filem Jerat.

"Pendekatan ini diharap dapat memberikan pengalaman berbeza kepada penonton selain memperkukuhkan elemen ketegangan yang menjadi kekuatan utama naskhah ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Roy berkata, pemilihan barisan pelakon turut dilakukan secara strategik dengan menggabungkan pelakon berpengalaman, penyanyi serta pempengaruh media sosial bagi menarik perhatian pelbagai kelompok penonton, khususnya golongan muda.

Jerat menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Pekin Ibrahim, Aprena Manrose, Stacy, Captain Palani, Datuk Jalaluddin Hassan, Qamarina Lim dan Razib Salimin.

Barisan pelakon yang bakal membintangi filem Jerat.

"Saya percaya gabungan pelakon berpengalaman, pempengaruh dan kekuatan jalan cerita mampu memberikan impak positif kepada industri filem tempatan.

"Saya juga berharap Jerat bukan sahaja diterima penonton tempatan, malah berupaya mencipta nama di peringkat antarabangsa menerusi kualiti produksi yang tinggi," luahnya.

Sesi penggambaran Jerat dijadual berlangsung antara Ogos hingga September depan di beberapa lokasi sekitar Selangor, Johor, Pahang, Perak serta beberapa kawasan lain yang bersesuaian dengan keperluan penceritaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain