suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Usia bukan penghalang Aishah tampil berbisa di 'Aishah: 40 Chapters of Love'

Aishah memukau peminat dengan 28 lagu pada konsert 'Aishah: 40 Chapters of Love'.

USIA bukan penghalang buat penyanyi Datuk Aishah untuk terus membuktikan kehebatan vokalnya menerusi konsert Aishah: 40 Chapters of Love yang berlangsung di Megastar Arena pada malam Sabtu.

Konsert yang bermula tepat pukul 8 malam itu menghimpunkan peminat daripada pelbagai lapisan usia yang hadir bagi meraikan perjalanan seni Aishah sepanjang empat dekad.

Membuka tirai persembahan menerusi lagu Camar Yang Pulang (disco), Aishah kemudian menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular termasuk Tiada Duka, Never Gave Up On You, Jari-Jari Sakit Semua, Kau Sahabat Kekasih Teman, Kasih Kita dan Kau Yang Istimewa.

Aishah cukup mesra menyapa peminatnya.

Pada usia 61 tahun, persembahan bertenaga yang disokong vokal mantap berjaya memukau penonton sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung.

Selain menyampaikan lagu-lagu malar segar, Aishah turut mencuri perhatian menerusi telatah spontannya ketika berinteraksi dengan peminat. Sikap mesra dan bersahajanya berjaya menghidupkan suasana sehingga mengundang gelak tawa penonton.

Malah, dia tanpa berselindung membahasakan dirinya sebagai 'Acik', sekali gus mewujudkan suasana hubungan lebih dekat dengan peminat yang hadir.

Dalam masa sama, Aishah meluahkan rasa terharu apabila dimaklumkan konsert berkenaan menjadi lokasi pertemuan pertama buat sepasang kekasih yang sama-sama meminatinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Janganlah kutuk Aishah! Perubahan vokal ikut usia perkara biasa - “Yang muda pun belum tentu boleh nyanyi lagu saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu guna teleprompter, Aishah hafal semua lagu untuk konsert '40 Chapters of Love'

Dia turut gembira melihat ramai peminat hadir bersama ibu bapa masing-masing, sekali gus membuktikan karya-karyanya terus diminati merentasi generasi.

Sepanjang konsert, Aishah turut berkongsi perjalanan seninya selama 40 tahun termasuk detik jatuh bangun yang pernah membuatkan dia hampir berputus asa sebelum kembali bangkit hasil sokongan insan di sekeliling.

Penyanyi itu juga berharap peminat tidak terlalu memberi perhatian terhadap perubahan suaranya yang adakalanya dipengaruhi faktor emosi ketika membuat persembahan.

"Perjalanan 40 tahun ini bukan satu jangka masa yang singkat. Ada masanya saya rasa macam nak berputus asa. Ada masanya saya tertanya-tanya, adakah orang masih mahu mendengar saya menyanyi?

Aishah turun dari pentas untuk menyapa peminat.

"Tetapi setiap kali saya melihat wajah-wajah anda semua dan menerima mesej sokongan, ia memberi saya kekuatan untuk terus berdiri di sini," katanya.

Hampir 30 lagu dipersembahkan sepanjang konsert termasuk Tari Silat Melayu, Lambaian Nogori, Bahtera Merdeka, Fatwa Pujangga, Di Mana Ku Cari Ganti, Ayah dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu.

Lebih mengimbau nostalgia, Aishah turut mendendangkan dua lagu raya yang cukup sinonim dengan dirinya iaitu Pulanglah dan Setitis Cahaya di Aidilfitri.

Peminat kagum lihat duet Ara Johari dan Aishah.

Konsert itu turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi Ara Johari sebagai artis jemputan yang menyampaikan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain selepas berduet bersama Aishah menerusi lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah.

Tidak lengkap persembahan tersebut tanpa segmen lagu berbahasa Inggeris yang pernah melonjakkan nama Aishah & The Fan Club, antaranya Sensation, Call Me, I Feel Love dan Don't Let Me Fall Alone.

Konsert berakhir dalam suasana penuh emosi apabila Aishah menutup tirai persembahan menerusi lagu Melukut Di Tepi Gantang, Wajah, Di Antara Cinta dan Kasih, Wanita, Bayangan, You've Got a Friend dan Janji Manismu.

Ia sekali gus menamatkan malam penuh nostalgia itu bersama peminat setianya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain