suria

PAS Terus Bersama Pakatan Rakyat - Mahfuz

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa parti itu konsisten dengan ketetapannya untuk terus bersama Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, ia sekali gus menolak dakwaan mengenai PAS akan mengkhianati pakatan dan masih berhasrat untuk membentuk Kerajaan Perpaduan antara parti itu dengan Umno-Barisan Nasional (BN).

"Usahlah terlalu mudah mempercayai khabar fitnah isu Kerajaan Perpaduan yang tidak berkesudahan ini.

"Saya turut memberi jaminan bahawa tidak ada di dalam PAS yang ingin membawa penyertaan parti ke dalam Barisan Nasional. Tetapi sekiranya ada, saya akan menjadi orang pertama menentang usaha tersebut," katanya dalam satu kenyataan di Parlimen pada Isnin.

Pada Ahad, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS, tiga parti komponen dalam pakatan pembangkang mungkin tidak akan wujud dalam tempoh dua minggu lagi.

Menerusi blognya, beliau memberitahu bahawa sebuah kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno mungkin akan menjadi kenyataan selepas cuba dihalang bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini.

Mengenai perbezaan pendapat mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan, Mahfuz berkata, ia adalah hak demokrasi PAS yang diberi amanah mentadbir negeri itu sejak 1990 dan DAP sebagai parti yang mengaku pejuang demokrasi tulen sepatutnya menghormati hak serta suara pihak lain yang secara sah mendapat majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Tambahnya, pelaksanaan enakmen itu hanya dapat dilaksanakan apabila Parlimen memberi kelulusan dan PAS tiada halangan jika DAP mahupun Umno-BN menolak Rang Undang-Undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"PAS akur dengan apa jua keputusan yang dibuat di Parlimen sama ada menerima atau menolak cadangan pindaan akta tersebut," kata Mahfuz.

Mahfuz Omar, PAS, Pakatan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain