suria

Rafizi Mahu PAS, DAP Bertenang Sehingga Muktamar

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli mencadangkan dua minggu yang akan datang ini sebagai tempoh bertenang bagi menghentikan perbalahan antara pemimpin PAS dan DAP.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kedua-dua rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat juga diminta untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan lagi hubungan mereka.

"Saya rasa cara terbaik dalam masa dua minggu ini ialah dengan mengadakan tempoh bertenang. Saya berharap tiada lagi perbalahan kenyataan yang membabitkan pemimpin kedua-dua parti.

"Apa sahaja keputusan selepas Muktamar PAS, saya harap kita tidak lupa kenapa kita ada di sini (sebagai Pakatan Rakyat)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Ahad bahawa Pakatan Rakyat mungkin tidak akan wujud selepas dua minggu lagi.

Rafizi memberitahu, rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat seharusnya bersama-sama sekiranya berlaku sesuatu masalah.

Menurutnya, ketiga-tiga parti berdepan dengan banyak jangkaan dan ramalan dalam tempoh enam hingga tujuh tahun kebelakangan ini tetapi bukan semua ramalan itu buruk seperti yang dispekulasikan.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa Pakatan Rakyat masih lagi berada di sini dan terus berjuang demi rakyat.

"Jadi saya agak optimis tidak kira apa yang terjadi dalam dua, tiga bulan ini jika kita bersama-sama, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan tahu kenapa kita banyak sokongan selama enam hingga tujuh tahun ini," kata Mohd Rafizi.

Kit Siang pada Ahad berkata, satu cara untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada berpecah adalah dengan mengamalkan hala tuju lapan tahun Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, ketiga-tiga parti komponen itu perlu komited untuk menegakkan dua prinsip asas iaitu kepatuhan pada dasar bersama dan prinsip operasi kesepakatan mengenai Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai badan pembuat dasar tertinggi dalam Pakatan Rakyat.

DAP, PAS, PKR

Artikel Lain