suria

Saya Tidak Fitnah, Serang Hadi - Zaidi

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipecat, Zaidi Ahmad menegaskan beliau tidak pernah memfitnah atau menyerang peribadi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu menurut Zaidi, beliau sedia disiasat sekiranya ada aduan rasmi berhubung pelanggaran etika ketika berkempen menjelang pemilihan parti Jun ini.

"Saya yakin bahawa sepanjang saya berkempen, saya tidak pernah melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh parti, antaranya jangan melakukan fitnah dan jangan menyerang peribadi pihak yang ditandingi.

"Pada masa sama saya bersedia disiasat sekiranya ada mana-mana pihak yang sanggup tampil membuat aduan rasmi kepada PAS Pusat bahawa saya telah melanggar disiplin parti dalam berkempen," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Nama Zaidi kembali mencetuskan kontroversi apabila wujud gesaan supaya PAS memecat beliau serta dua lagi ikon parti itu kerana mengkritik kepimpinan parti.

Turut sama terbabit dalam kontroversi kerana mengkritik PAS ialah Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pemuda PAS Pusat, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali Leman Raja Lawak dan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat yang juga penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin.

Mengulas lanjut Zaidi yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada calon jawatan Presiden PAS, Ahmad Awang berkata, isu pemecatan itu berkemungkinan sengaja ditimbulkan oleh penyokong Hadi.

"Sudah adat pertandingan setiap pihak akan mempromosikan kelebihan calon masing-masing dan pada masa yang sama mengetengahkan kelemahan di pihak pesaing.

"Isu pecat yang timbul baru-baru ini barangkali dicetuskan oleh penyokong-penyokong Hadi yang terlalu sayang kepada beliau sehingga tidak dapat menerima sebarang kritikan dan teguran di atas kepimpinan beliau," katanya.

Berhubung permilihan parti Jun ini, Zaidi berkata beliau secara peribadi mahu melihat perubahan dalam kepimpinan PAS.

"Saya secara peribadi merasakan yang PAS perlukan perubahan kepimpinan demi memastikan kecemerlangan yang telah dicapai oleh PAS terutama semasa era Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz (Nik Mat) bukan sahaja dapat dikekalkan malah dapat terus dipacu terutama dalam memastikan PAS terus kekal bersama Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU-14 yang akan datang.

"Nasihat saya kepada kedua-dua belah pihak, berkempenlah dengan berhemah dan penuh kasih sayang kerana kita adalah dalam satu jamaah," katanya.

PAS, Muktamar

Artikel Lain