suria

Leman Raja Lawak Serang 'Lebai Mercun'

Sulaiman mengakui masih menjadi ahli PAS.

PETALING JAYA: Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak tidak akan 'tutup mulut', malah mahu terus mengkritik PAS dan kepimpinannya demi masa depan parti itu.

Bukan itu sahaja, Sulaiman yang juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pemuda PAS Pusat turut melabel kumpulan tertentu dalam parti itu sebagai 'lebai mercun' kerana berselindung atas nama Islam semata-mata untuk berkuasa.

"Saya masih ahli PAS yang sah dan boleh mengkritik siapa sahaja, antaranya lebai-lebai mercun yang balik dari Mesir tak cukup senawi mengaku ulama sehebat seantero Malaysia.

"Lebai-lebai mercun ni tak suka berbaik dengan orang bukan Islam sebagai medan dakwah ukhwah sebaliknya mengkafirkan mereka secara lantang tanpa menghormati sentiviti agama. Apabila diangkat menjadi pemimpin, mereka hanya pandai bercakap bab dakwah, Islam dan sebagainya tapi langsung tidak turun ke akar umbi melihat nasib rakyat bawahan," katanya pada Isnin.

Kenyataan penuh emosi itu dimuat naik di laman Facebook sebagai respon kepada laporan muka depan sebuah akhbar harian bahawa beliau akan dipecat daripada PAS kerana lantang mengkritik kepimpinan PAS.

Turut sama dikaitkan dalam laporan itu ialah pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipecat, Zaidi Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Wan Aishah Wan Ariffin.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, beliau masih belum menerima sebarang surat mengenai kedudukannya dalam PAS.

"Kami belum lagi mendapat apa-apa surat rasmi atau panggilan telefon daripada pimpinan tertinggi berhubung isu pemecatan yang menjadi viral," katanya.

Mengenai dakwaan beliau terlalu lantang mengkritik kepimpinan PAS walaupun masih baharu menyertai parti Islam itu, Sulaiman bagaimanapun menempelak golongan berkenaan.

"Kepada lebai-lebai mercun dalam PAS yang merosakkan parti dan jemaah, jangan dok buat kepala!

"Tak payah nak sembang hang orang lama dalam PAS kalau setakat tarbiyah cap ayam dok berlagak usrah sana sini tapi perangai tak seperti orang yang kena tarbiyah. Merekalah lebai-lebai mercun yang pemecahbelahkan jemaah PAS sekarang ini," katanya.

Leman Raja Lawak, PAS

Artikel Lain