suria

Kebakaran Musnahkan 30 Rumah Di Likas

Kebakaran di Kampung Gusung malam Sabtu memusnahkan 30 rumah dan menyebabkan 150 hilang tempat tinggal.

KOTA KINABALU: Lebih 150 mangsa kehilangan tempat tinggal selepas 30 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gusung, Likas, kira-kira lapan kilometer dari sini pada malam Sabtu.

Kebakaran yang bermula pada jam 8 malam itu merebak dengan pantas sehingga memusnahkan hampir kesemua rumah kayu di penempatan tersebut yang terletak bersebelahan Pusat Penyelidikan Jabatan Perikanan Negeri.

Menurut penduduk kampung, kejadian yang berlaku dengan pantas menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri bersama keluarga bagi mengelak terperangkap dalam kebakaran.

"Saya sempat mengambil beberapa dokumen penting keluarga dan menarik dua anak sebelum kebakaran itu memusnahkan rumah kami," kata suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Nurshana.

Sementara itu, pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, 30 anggota bomba serta empat jentera dari Lintas dan Sembulan diarah ke lokasi kejadian.

Menurutnya lagi, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 9 malam dan api dapat dipadamkan sepenuhnya dua jam kemudian.

Punca kebakaran dan kerugian yang dialami penduduk kampung masih dalam siasatan. 


Likas, Kampung Gusung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain