suria

Ambil Iktibar Kemajuan Korea Selatan Dalam Inovasi - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh mengambil iktibar daripada kemajuan dan kepakaran Korea Selatan dalam bidang inovasi dan berdaya saing untuk muncul sebagai salah sebuah negara paling maju di dunia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata menggalakkan daya saing dan idea-idea yang terus memacu merupakan dorongan dalam membentuk sebuah komuniti yang produktif dan progresif.

"Negara berwawasan adalah sebuah negara yang ditadbir dengan baik dan mantap dalam bidang sains dan teknologi, sekali gus menyediakan golongan belia untuk pasaran tenaga kerja dan memupuk hubungan antara pendidikan, penyelidikan, industri dan kemampanan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada 'Malam Budaya Cipta' sempena edisi ke-26 Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2015 (ITEX) di sini, malam Jumaat.

Merujuk Korea Selatan sebagai contoh, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata negara itu mengambil langkah-langkah besar selama ini untuk muncul sebagai peneraju inovasi bagi produk-produk elektronik dan telekomunikasi.

"Intensiti dalam membina masyarakat yang serba canggih adalah apa yang ia lakukan dengan lebih baik berbanding negara-negara lain," kata Muhyiddin, yang juga merujuk kepada Taiwan yang mengutamakan imaginasi dan keupayaan pelajar untuk membuat inovasi sebagai faktor dalam proses pengambilan pelajar universiti di negara itu.

Di Malaysia, katanya, negara sedang dalam mengharungi dasar strategik negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Terdapat keperluan jelas untuk perniagaan tradisional dan bukan tradisional untuk melakukan inovasi bagi mewujudkan kesan ketara kepada pendapatan negara kasar dan keluaran dalam negara kasar," katanya.

Beliau menyifatkan ranking Malaysia di tangga ke-33 daripada 143 buah negara dalam Indeks Inovasi Global 2014 sebagai satu kedudukan yang membanggakan.

"Saya berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa inovasi adalah sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang," katanya sambil menegaskan pertumbuhan yang dipacu inovasi memerlukan tindakan pelbagai dasar termasuk pendidikan.

Korea Selata, Muhyiddin Yassin

Artikel Lain