suria

Pegawai Kanan Kastam Disiasat Terkait Aktiviti Penyeludupan

KOTA KINABALU: Pegawai kanan Kastam negeri sedang disiasat berikutan memiliki berjuta-juta ringgit dalam akaun bank peribadi manakala dalang kepada dua penyeludupan terbesar di Sabah telah ditahan dalam satu tindakan keras di negeri itu.

Pihak berkuasa juga telah membekukan 69 akaun bank yang berkaitan dengan pegawai Kastam negeri.

Sejumlah 69 daripada 1,623 akaun bank bernilai RM560 juta milik individu dan syarikat-syarikat dibekukan dalam Ops BS bersepadu yang bermula pada 15 Mei di Sabah.

Kedua-dua dalang penyeludupan yang beroperasi di Sipitang dan Keningau kini berada dibawah pengawasan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) di Putrajaya.

Mereka ditahan antara 14 Mei dan 16, menurut sumber kepada The Star.

Mereka dikatakan terlibat dengan penyeludupan rokok dan alkohol ke Sabah menerusi bebas cukai Labuan.

Sumber berkata beberapa pegawai kanan Kastam hidup di luar kemampuan mereka dan kini disiasat kerana didakwa menerima rasuah berkaitan penyeludupan.

"Semua akaun mereka telah dibekukan bagi membantu siasatan," katanya.

Tindakan keras tersebut dilakukan dengan kerjasama oleh SPRM, Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Pasukan Gerakan Am, Kastam, Bank Negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menerusi tinjauan yang dilakukan, ramai pengguna mengadu kini sukar untuk mendapatkan minuman alkohol dengan harga murah yang pernah digelar "Sepuluh Tiga (RM10 untuk tiga tin bir).

"Ia masih boleh dapat barang seludup itu tetapi tidak secara terbuka," kata seorang pengguna.

Jualan seludup alkohol biasanya pada hari perayaan Kaamatan (tuai) dan sambutan akhir tahun.

Bagaimanapun, pembekuan akaun yang dilakukan dalam tempoh yang lama dibimbangi boleh menjejaskan operasi perniagaan syarikat-syarikat termasuk pasar raya, kedai runcit dan pengimport.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kota Kinabalu, Datuk Michael Liu menggesa SPRM dan pihak berkuasa berkaitan memberi pembekuan bersyarat bagi membolehkan beberapa transaksi dalam perniagaan seperti membayar gaji pekerja dilakukan.

Menteri Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang juga menyeru SPRM dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk menyiasat kes-kes mereka dengan cepat agar ia tidak memberi kesan serius ke atas ekonomi negeri itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, SPRM menafikan dakwaan menyalahgunakan kuasa membekukan akaun bank dalam operasi baru-baru ini di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi ) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata tindakan itu adalah mengikut undang-undang dan lakukan selepas siasatan dilakukan hampir setengah tahun.

"Kita tidak akan membekukan akaun tanpa asas yang kukuh," katanya , menjawab aduan daripada Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen dan ADUN Likas Junz Wong.

Mohd Shukri juga berkata syarikat-syarikat boleh mengeluarkan sebahagian daripada jumlah wang dalam akaun yang dibekukan atas tujuan tertentu seperti membayar gaji.

Selain daripada tindakan terhadap rangkaian penyeludupan, operasi juga telah memberi tumpuan kepada penyalahgunaan diesel subsidi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain