suria

Johor Bakal Jadi Hab Ekonomi Wilayah Selatan - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled Nordin.

JOHOR BARU: Johor bakal menjadi hab ekonomi wilayah selatan selepas Lembah Klang dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kata Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata negeri itu akan juga mendapat manfaat daripada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Jurong di Singapura.

"Aspek lain dalam rancangan itu adalah menyediakan rumah mampu milik, sekolah, sebuah hospital dan menghidupkan semula projek landasan berkembar Gemas-Johor Baru akan membawa kesan positif secara langsung terhadap pembangunan negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamed Khaled berkata pelaksanaan terminal LNG di Pengerang yang menjana kuasa untuk projek pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), dijangka mengubah industri minyak dan gas di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri itu sudah bersedia untuk melaksanakan projek landasan berkembar Gemas-Johor Baru.

Menurutnya, negeri itu telah melakukan proses penempatan semula penduduk, bayaran pampasan dan penjajaran semula untuk projek berkenaan dan sedang menunggu arahan daripada kerajaan Persekutuan.

"Projek landasan berkembar itu tidak boleh ditangguhkan lagi kerana ia akan mengganggu usaha tebatan banjir di negeri ini terutamanya di kawasan Genuang dan Segamat," katanya.


Artikel Lain