suria

Dua Termasuk Bayi Maut Dalam Kemalangan

TAWAU: Dua termasuk seorang bayi maut selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki mereka bersama enam lagi penumpang, bertembung dengan Perodua Alza di KM47 Jalan Kunak-Semporna dekat sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Umbuas berkata dalam kejadian pada kira-kira 4.30 petang itu, Witri Baktiar, 17, meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi perempuan, Fatiha Aziah berusia lapan bulan, disahkan meninggal dunia di Hospital Kunak.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas Perodua Alza yang datang dari arah Semporna menuju ke Kunak memasuki lorong kanan lalu melanggar bahagian tepi kanan pacuan empat roda berkenaan, yang datang dari arah bertentangan.

"Selepas pelanggaran itu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan terbabas sebelum terbalik menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan,"  katanya.

Menurut beliau, dua lagi penumpang pacuan empat roda berkenaan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kunak.

Bagaimanapun, katanya kedua-dua pemandu dan tiga lagi penumpang kereta pacuan empat roda itu hanya cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
bayi, maut, kemalangan

Artikel Lain