suria

Bas Dua Tingkat RapidKL Beroperasi September Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 90 kapten Bas RapidKL menjalani latihan bagi mengendalikan perkhidmatan bas dua tingkat yang akan beroperasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada September ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkifli Mohd Yusoff berkata, kursus khas itu dikendalikan oleh Akademi Bas Rapid yang mempunyai perkhidmatan serba lengkap termasuk memiliki peralatan simulator bas dinamik dan statik.

Warga kota bakal menikmati kemudahan perkhidmatan bas dua tingkat RapidKL yang akan beroperasi di sekitar Lembah Klang bermula September.

"Dengan latihan komprehensif ini, kami berjanji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, laluan untuk 40 bas dua tingkat itu belum diputuskan secara muktamad dan perbincangan masih dijalankan dengan agensi-agensi yang terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan.

"Namun, laluan yang akan digunakan bas dua tingkat itu adalah laluan jarak jauh yang mempunyai permintaan dan kapasiti penumpang yang tinggi," katanya.

Sebuah bas dua tingkat boleh membawa sehingga 108 penumpang pada satu masa.

"Ini sekali gus memendekkan masa menunggu dan meningkatkan keselesaan para penumpang,” katanya.

Pada Isnin lalu, Prasarana telah mengadakan prapelancaran bas dua tingkat RapidKL itu yang mempunyai ketinggian 4.2 meter.

Bas tersebut turut dilengkapi kemudahan akses universal seperti kafe mini, tandas dan Wifi serta mesra Orang Kelainan Upaya.


RapidKL, bas dua tingkat

Artikel Lain